Anda di sini

P.Pinang zahir ucapan takziah kepada keluarga, kenalan mangsa pesawat MH17

Advertisement

GEORGE TOWN: Bendera Negeri Pulau Pinang akan dikibarkan separuh tiang sama seperti Jalur Gemilang pada 22 Ogos ini sebagai tanda penghormatan dan simpati kepada mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan bertafakur secara serentak dengan kerajaan persekutuan menerusi siaran langsung Istiadat Penghormatan Jenazah Jumaat ini yang akan dipaparkan di skrin besar di hadapan Maybank Komtar di sini.

“Kerajaan negeri menasihatkan agar mana-mana pihak yang akan menganjurkan majlis-majlis di negeri ini turut bertafakur atau memberi penghormatan selama seminit kepada mangsa pesawat MH17 sebelum memulakan majlis,” katanya dalam sidang akhbar, di sini semalam.

Penerbangan MH17 sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai lepas.

Pesawat Boeing 777-200 itu, yang membawa 298 penumpang dan anak kapal, telah ditembak jatuh, namun sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab atas perbuatan kejam itu.

Lim berkata kerajaan negeri turut menuntut dengan tegas bahawa pihak yang bertanggungjawab ke atas insiden itu dikenal pasti dan dibawa ke muka pengadilan serta dijatuhkan hukuman yang setimpal.

Dalam pada itu, Lim berkata kerajaan negeri turut berkongsi rasa pilu yang menyelubungi ahli keluarga dan kenalan penumpang serta anak kapal MH370 dan berharap agar satu kepastian diperoleh bagi mengakhiri segala tanda tanya berhubung kehilangan pesawat MH370 itu pada 8 Mac lalu.

“Kami tidak pernah putus mengirimkan doa agar usaha menjejaki pesawat MH370 membuahkan hasil,” katanya. — Bernama

Advertisement