Anda di sini

Ngap Sayot tersungkur

Advertisement

Hasrat meneruskan rentak kemenangan tidak kesampaian disentap

KUCHING: Hasrat Sarawak meneruskan rentak kemenangan tidak kesampaian apabila tersungkur di pangkuan Perak 2-0 pada perlawanan kedua kempen Piala Malaysia 2014 di Stadium Perak, malam tadi.

Skuad Seladang memperolehi gol pertama pada minit ke-44 hasil sentuhan Mohd Nasir Basharuddin setelah menerima hantaran cantik daripada pemain import Perak, Marco Tulio gara-gara kealpaan benteng Sarawak.

Separuh babak pertama, skuad Ngap Sayot ketinggalan 1-0 meskipun mereka mampu memberi saingan sengit kepada pasukan tuan rumah.

Bagaimanapun, baharu empat minit perlawanan babak kedua bermula Perak sekali lagi membolosi kubu pertahanan Sarawak dengan jaringan dilakukan oleh pemain importnya, Abdulafees Abdulsalam pada minit ke-49.

Jaringan gol kedua itu ternyata memberi tekanan tinggi buah anak-anak buah Robert Alberts untuk bertindak lebih garang.

Serangan demi serangan dilancarkan namun Sarawak melepaskan peluang keemasan untuk merapatkan defisit jaringan pada minit ke-61 tatkala S Chanturu melakukan percubaan dalam petak penalti namun bola sipi di gawang Perak.

Minit ke-86, Sarawak sekali lagi memperolehi peluang untuk menghasilkan jaringan menerusi rangkaian penyerang yang diterajui pemain import, Ryan Alan Griffiths namun gagal menemui sentuhan penyudah berkesan.

Begitu juga percubaan terbaik oleh Junior Eldstal pada minit terakhir perlawanan namun rembatannya berjaya ditepis keluar oleh penjaga gawal Perak.

Kemenangan itu sekali gus menganjakkan kedudukan Perak di tangga teratas Kumpulan B dengan dua kemenangan.

Sarawak akan menanti kunjungan Kedah pada perlawanan ketiga pusingan pertama Kumpulan B di Stadium Negeri Kuching pada Sabtu ini (23 Ogos).

Seladang 2-0

Advertisement