Anda di sini

Warga Nigeria didakwa tipu kontraktor binaan RM21,000

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar kolej warga Nigeria mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam terhadap pertuduhan menipu seorang kontraktor pembinaan berhubung penghantaran bungkusan dengan anggaran kerugian RM21,000, bulan lepas.

Onyemeliha Goddey Ignatius, 44, didakwa menipu Ramlah Salleh, 42, dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa tertuduh boleh menyerahkan satu konsainan yang mempunyai mata wang AS$1.8 juta sehingga mendorong Ramlah menyerahkan wang tunai RM21,000 kepadanya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah hotel di Jalan Jambu Mawar, Off Jalan Kepong, di sini antara jam 4 petang dan 5 petang pada 19 Julai lepas mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa tinggal di Malaysia selepas tamat tempoh pas visa pelajar mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. — Bernama

Advertisement