Anda di sini

Tiga maut dihempap konkrit 490 tan

Advertisement

RUNTUH: Pekerja-pekerja Mass Rapid Transit (MRT) melakukan kerja pembersihan selepas tiga pekerja warga Bangladesh yang terperangkap dalam runtuhan konkrit landasan projek tersebut ditemui tengah hari semalam di Kota Damansara di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

PETALING JAYA: Mayat dua lagi pekerja warga Bangladesh yang terperangkap dalam runtuhan konkrit landasan projek Mass Rapid Transit (MRT) di Kota Damansara di sini, ditemui tengah hari semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata mayat Mohamad Faruk Khan dan Mohammad Alauddin Mollik ditemui pihaknya pada jam 1.35 tengah hari semalam.

“Kedua-dua mayat itu dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mayat seorang lagi pekerja Bangladesh, Mohammad Elahi Hossain ditemui pasukan mencari pada jam 2.30 pagi semalam dan telah dibawa ke hospital sama.

Tiga pekerja binaan lelaki warga Bangladesh itu maut selepas dihempap landasan konkrit seberat 490 tan di tapak projek MRT berhampiran Institut Penyelidikan Getah Malaysia, Kota Damansara pada jam 8.30 malam kelmarin.

Susulan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam catatan di laman Twitternya meluahkan rasa terkejut dengan insiden itu dan mahu siasatan penuh dijalankan segera.

Sementara itu, kerja pembinaan di tapak kerja MRT berkenaan ditangguhkan buat sementara waktu bagi memudahkan proses siasatan, kata Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Wira Azhar Abdul Hamid.

Namun, katanya projek MRT di kawasan lain berjalan seperti biasa.

“Kami sedang bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi memperoleh maklumat lanjut berhubung punca kemalangan itu berlaku.

“Walaupun kemalangan berlaku di kawasan tapak kerja dan bukan di kawasan awam, pihak kami memandang serius dan kesal atas insiden yang berlaku,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian sebelum mengumumkan peletakan jawatannya selaku CEO pada sidang media berasingan pada kira-kira 4 petang semalam.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam MRT Corp Amir Mahmood Razak berkata kesemua lapan kabel yang memegang konkrit terjatuh itu dipotong pada kira-kira jam 8.30 pagi semalam untuk memudahkan operasi mencari mayat.

Menurutnya, Kedutaan Bangladesh di Malaysia sudah dimaklumkan mengenai insiden itu.

Pekerja di tapak itu, Mohd Shajahan, 30, dari Bangladesh berkata seorang daripada mangsa menelefonnya meminta supaya membawa perkakasan sejurus sebelum kejadian itu.

“Saya sedang menuju ke arah mereka apabila melihat konkrit itu runtuh lalu menghempap mereka,” katanya.

Beliau berkata ketika kejadian, terdapat lapan pekerja Bangladesh iaitu lima di kawasan sekitar dan tiga di bahagian atas struktur konkrit sedang bekerja di tapak itu. — Bernama

Advertisement