Anda di sini

SDRU menjuarai Ragbi Piala Sarawak buat kali ke-18 berturut-turut

Advertisement

ASAK: Pemain pasukan SDRU berusaha keras untuk menentang pemain pasukan KRFC pada perlawanan akhir.

SIBU: Pasukan Sibu Division Rugby Union (SDRU) terpaksa berhempas pulas sebelum berjaya menundukkan Kuching Rugby Football Club (KRFC) 16-13 pada perlawanan akhir Kejohanan Ragbi Piala Sarawak Rugby Union (SRU) barubaru ini.

Pada kejohanan yang berlangsung di padang ragbi SMK Sacred Heart itu, kejayaan SDRU berjaya mengukuhkan kedudukan mereka sebagai kuasa ragbi di negeri ini selepas menjuarai kejohanan 18 kali berturut-turut.

Ketua jurulatih SDRU, Michael Ting berkata, perlawanan akhir itu tidak mudah bagi mereka terutama apabila terpaksa berhadapan dengan pasukan yang kuat seperti KRFC yang sentiasa inginkan kemenangan.

“Dari awal lagi, saya telah memberitahu pemain agar sentiasa berjaga-jaga dengan pasukan KRFC. Bagaimanapun kita gembira dapat menjuarai kejohanan dan merangkul gelaran buat kali ke-18,” ujarnya kepada pemberita, semalam.

Tempat ketiga kejohanan dimenangi oleh SHOAW All Boys selepas Miri Division Rugby Union menarik diri ketika kedua-dua pasukan terikat 17-17.

Menurut Ting, anak buahnya boleh memenangi perlawanan itu lebih awal sekiranya mereka mengikut perancangan yang telah diatur.

Namun katanya, disebabkan kelemahan hantaran dan penyudahan menghalang pasukan mencipta kemenangan lebih awal.

“Bagaimanapun kita gembira kerana dapat mengekalkan piala yang amat bermakna kepada kita,” jelas beliau.

Advertisement