Anda di sini

Jenazah 28 warga Malaysia dikenal pasti

Advertisement

KUALA LUMPUR: Dua puluh lapan daripada 43 mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 warga Malaysia telah dikenal pasti setakat semalam, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 15 merupakan penumpang manakala 13 yang lain adalah anak kapal.

Jumlah 28 jenazah ini melibatkan 14 orang Islam dan 14 lagi bukan Islam, katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat kepada editor kanan media berhubung persiapan istiadat penghormatan jenazah tragedi MH17 di Kementerian Pertahanan di sini semalam.

“Untuk Jumaat ini, saya boleh sahkan jenazah yang terlibat adalah 15 (warga Malaysia) campur satu (warga Netherlands) akan dibawa pulang (ke Malaysia).

Tetapi ada kemungkinan bertambah dan ini akan dapat disahkan esok (hari ini),” katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata istiadat pada Jumaat ini merupakan istiadat pengebumian pertama yang dikelolakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melibatkan jenazah orang awam.

Beliau menjelaskan istiadat penghormatan seumpama itu biasanya diberikan hanya kepada pemimpin dan perwira negara.

“Istiadat ini memperlihatkan peranan ATM buat julung kalinya terlibat secara langsung dalam memberi penghormatan kepada rakyat biasa. Saya percaya kami dapat melakukan yang terbaik. Saya amat berpuas hati dengan persiapan yang dibuat,” katanya.

Hishammuddin berkata orang ramai boleh mengambil bahagian dalam memberi penghormatan terakhir kepada mangsa nahas MH17 secara bertafakur selama seminit.

Beliau menjangkakan waktu bertafakur dapat dilakukan antara jam 10.30 dan 11.30 pagi tetapi bergantung kepada kelancaran istiadat dan jumlah jenazah yang dibawa balik.

Hishammuddin berkata pihak ATM akan mengadakan satu taklimat khas kepada Jemaah Menteri hari ini berhubung istiadat penghormatan jenazah itu yang dijadual berlangsung sejurus jenazah mangsa tragedi itu tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Netherlands.

Beliau akan mempengerusikan sekali lagi mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17 pada Khamis untuk persiapan dan persediaan terakhir sebelum istiadat sebenar berlangsung pada Jumaat.

Mengenai taklimat semalam, Hishammuddin berkata ia membincangkan secara terperinci beberapa aspek penting berkaitan media termasuk liputan langsung, kedudukan dan pergerakan wakil-wakil media ketika membuat liputan serta susun atur majlis istiadat dari mula sehingga akhir.

“Taklimat ini penting bagi mendapatkan maklum balas serta pandangan pihak media khususnya mengenai perjalanan istiadat, keperluan dan permintaan pihak media semasa membuat liputan serta perkara lain yang patut dilakukan semasa istiadat itu berlangsung.

“Pandangan pihak media amat diperlukan untuk menjamin kelancaran istiadat yang telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri,” jelasnya.

Penerbangan MH17 sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine berdekatan sempadan Rusia pada 17 Julai.

Pesawat Boeing 777 dengan 298 penumpang dan anak kapal itu dilaporkan ditembak jatuh, namun sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab. — Bernama

Advertisement