Anda di sini

Tawaran terhad perubatan untuk elak kebanjiran doktor

Advertisement

Pelajar masih berpeluang ikuti kursus lain yang berkaitan 

KUALA LUMPUR: Kerajaan menawarkan tempat kepada hanya 418 pelajar yang benar-benar layak untuk mengikuti jurusan perubatan (Ijazah Pertama) ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi pengambilan tahun ini.

Timbalan Menteri Pendidikan P.Kamalanathan berkata tawaran tempat yang terhad itu adalah bagi mengawal jumlah siswazah perubatan baharu dan mengelakkan berlakunya kebanjiran doktor baharu di pasaran kerja.

“Sebanyak 1,163 pelajar yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 telah memohon untuk jurusan perubatan tetapi hanya 418 tempat sahaja ditawarkan dan pengambilan pelajar juga bergantung pada sesi temu duga.

“Kita mengambil keputusan ini setelah berbincang dengan Kementerian Kesihatan dan Majlis Perubatan Malaysia (MMC),” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata baki pelajar yang tidak dapat tempat dalam bidang perubatan telah ditawarkan kursus lain yang masih relevan dan berkaitan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas aduan mengenai pelajar-pelajar yang mempunyai keputusan 4.0 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Matrikulasi tetapi gagal mendapat tawaran jurusan perubatan di IPTA.

Kamalanathan bagaimanapun menyeru semua pelajar yang tidak mendapat tempat di IPTA supaya membuat rayuan kepada Kementerian Pendidikan melalui laman sesawang rasmi kemasukan di upu.moe.gov.my sebelum 23 Ogos ini.

Keputusan pemilihan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat mengikut program pengajian di IPTA selepas pendaftaran pelajar baharu.

“Sejumlah 37,467 telah mendapat tawaran di IPTA, mungkin ada pelajar yang tidak selesa dengan kursus mereka. Saya syorkan mereka terima kursus berkenaan dan daftar dulu. Kemudian tulis surat rayuan terus kepada universiti berkenaan,” kata beliau.

Katanya, kementerian pendidikan juga memastikan semua pelajar yang mempunyai PNGK 4.00 mendapat tawaran di IPTA bagi sesi Akademik 2014/2015.

Kamalanathan berkata dasar pengambilan dan pemilihan kemasukan ke IPTA adalah berdasarkan prinsip meritokrasi termasuk 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum tanpa mengira agama, bangsa, keturunan dan negeri.

Beliau berkata terdapat banyak bidang lain termasuk bidang perundangan, kejuruteraan dan komunikasi yang masih boleh diceburi oleh pelajar serta kesemua bidang ini mampu memberi masa depan yang cerah.

Pelajar yang mendapat tempat di IPTA harus bersyukur kerana terdapat 29,821 calon yang layak tidak mendapat sebarang tawaran, katanya.

Seramai 37,467 daripada 74,071 iaitu 55.6 peratus calon telah berjaya mendapat tawaran di 20 IPTA bagi sesi akademik 2014/2015.

Daripada jumlah itu, seramai 21,800 calon (58.2 peratus) adalah daripada aliran Sains manakala 15,667 (41.8 peratus) daripada Sastera.

Mengikut jantina pula, sebanyak 26,030 atau 69.6 peratus adalah pelajar wanita manakala 11,437 atau 30.5 peratus adalah lelaki. — Bernama

Advertisement