Anda di sini

SPRM tidak tunggu laporan, siasat kes daripada pelbagai medium

Advertisement

GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak hanya menjalankan siasatan berdasarkan laporan yang diterima sebaliknya memantau segala bentuk kes berunsur rasuah daripada pelbagai medium.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Mustafar Ali berkata sebarang maklumat sama ada melalui laporan media, persidangan Dewan Rakyat, Dewan Undangan Negeri atau forum umum akan diteliti secara terperinci untuk melihat kesahihan isu yang diketengahkan.

Beliau berkata ia termasuk laporan ketua audit negara atau pembentangan penyata kewangan yang mempunyai unsur ketirisan dan boleh dikaitkan dengan salah laku rasuah.

“Tapisan terhadap sumber itu dibuat secara halus. Tetapi tidak semestinya semua perlu buka kertas siasatan, tidak boleh cepat buat kesimpulan kerana mungkin maklumat itu hanya dakwaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Amalan Kredibiliti, Masyarakat Berintegriti kepada golongan peniaga dan penjaja kecil di sini semalam.

Beliau berkata secara purata SPRM menerima 5,000 laporan dalam tempoh setahun daripada pelbagai pihak namun hanya kira-kira 1,000 daripadanya diklasifikasi sebagai rasuah dan dibuka kertas siasatan.

Mustafar berkata baki kes akan dirujuk kepada agensi bersesuaian untuk tindakan lanjut dan 85 peratus daripada kertas siasatan yang dibuka itu menjalani proses pendakwaan di mahkamah.

Dalam pada itu, beliau berkata usaha pencegahan salah laku rasuah yang berpotensi melibatkan golongan itu dilakukan secara proaktif dengan mempromosi Ikrar Integriti Korporat (CIP) bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang adil dan telus.

Sejak CIP diperkenalkan pada 2010, terdapat peningkatan positif dari segi kecekapan pengurusan dan peningkatan penerimaan kontrak oleh badan korporat yang mengadaptasi dasar itu dalam gerak kerja mereka, katanya. — Bernama

Advertisement