Anda di sini

Sisa pepejal, masalah perparitan antara faktor denggi meningkat di Kelantan

Advertisement

KOTA BAHARU: Kelemahan pihak berkuasa tempatan menguruskan sisa pepejal dan sistem perparitan antara penyebab meningkatnya kes demam denggi di Kelantan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Beliau berkata longgokan sampah yang terbiar dan parit yang tersumbat menyebabkan air bertakung dan ia menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

“Faktor lain ialah kurangnya kerjasama daripada orang ramai untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes.

“Mereka membiarkan persekitaran rumah tidak bersih manakala amalan gotong royong terlalu kurang,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat lokaliti program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) dalam mengawal denggi, di Taman Desa Kemumin Fasa II, Pengkalan Chepa di sini, semalam.

Dr Subramaniam berkata sejak Januari hingga kelmarin, sebanyak 8,074 kes demam denggi dengan 12 kematian dilaporkan di negeri ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas iaitu 839 kes dengan satu kematian.

Beliau berkata Kota Baharu adalah daerah yang paling tinggi jumlah kes denggi dengan menyumbang 78 peratus daripada keseluruhan kes.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak berkuasa tempatan segera memperbaiki pengurusan sisa pepejal dan memastikan air di sistem perparitan mengalir dengan sempurna.

“Masyarakat diminta mengambil langkah pencegahan seperti melakukan aktiviti mencari dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes pada setiap minggu di persekitaran premis dan rumah mereka,” katanya.

Katanya, Jabatan Kesihatan pula telah menubuhkan 38 pasukan kawalan denggi dengan kira-kira 100 anggota bagi mengawal wabak tersebut.

Beliau turut menggalakkan lebih banyak komuniti menubuhkan COMBI (Communication for Behavioural Impact) untuk memperkasa peranan komuniti dalam mencegah dan mengawal kejadian penyakit khususnya demam denggi. — Bernama

Advertisement