Anda di sini

Malaysia sentiasa iktiraf sukan wushu

Advertisement

SIBU: Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Datuk Tiong Thai King berkata kerajaan Malaysia sentiasa memberi pengiktirafan kepada pembangunan sukan wushu di negara ini.

Beliau berkata, atlet wushu cemerlang tidak hanya diberikan pengiktirafan atas sumbangan mereka tetapi turut diberikan insentif tambahan.

“Ini merupakan petanda baik bagi pembangunan sukan yang semakin popular kalangan rakyat di negara ini,” katanya pada Kejohanan Wushu Antarabangsa Borneo Edisi Ke-6 di SMK Sacred Heart di sini kelmarin.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh setiausaha peribadinya, Tang Tung King.

Seramai 246 atlet wushu dari 16 pasukan seluruh negara termasuk Persekutuan Wushu Negara Brunei Darussalam dan pasukan Indonesia Jawa Timur Wushu mengambil bahagian pada kejohanan itu.

Pasukan lain ialah KelasLow Kim Fun Taiji dan Akedemi Wushu Zen dari Johor dan Persatuan Taijiquan dari Selangor.

Sementara itu, pasukan tempatan mengambil bahagian termasuk akedemi wushu Dongbeibei Taiji, CMAA, SMAA, Jing Ying Dragon & Lion Dance Association, pasukan wushu SMK Sacred Heart Wushu, Persatuan Wushu Miri, pasukan Cina Kebudayaan Seni Peng Yang, SMK Tinggi Sarikei dan SMK Deshon Sibu.

Tiong berkata, semua ini terhasil daripada iklim politik negara yang stabil dengan membolehkan rakyat berbilang kaum menggalakkan dan menikmati sukan mereka bersama-sama.

Katanya, kerajaan akan mengeluarkan insentif khas dan elaun bagi memastikan pembangunan seni Cina tradisional terus dipertahankan.

“Justeru, rakyat harus bersyukur kepada kerajaan kerana sentiasa berusaha membantu mempromosikan apa juga jensi sukan di negara ini,” katanya.

Advertisement