SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam berkata beliau akur dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memintanya menunggu untuk menghadap selepas baginda berangkat pulang ke tanah air.
Abdul Khalid berkata sementara menunggu tempoh itu, beliau akan meneruskan tugas seperti biasa sebagai menteri besar bersama empat anggota exco daripada PAS.
“Saya menghormati dan akur nasihat Sultan Selangor supaya saya menghadap selepas baginda kembali ke tanah air.
“Sehingga itu, saya serta barisan exco akan menjalankan tugas seperti biasa bagi menjamin pentadbiran serta pengurusan negeri berjalan lancar dan baik,” katanya dalam kenyataan di sini.
Dalam pada itu, beliau turut meminta semua pihak terutama pemimpin politik supaya menghormati titah Sultan Selangor dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh memberi imej negatif terhadap baginda.
Terdahulu, Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam kenyataan semalam berkata Abdul Khalid dititahkan menunggu sehingga Sultan Selangor berangkat pulang ke tanah air untuk menghadap baginda.
Ia berikutan permohonan Abdul Khalid untuk menghadap baginda di luar negara bagi menjelaskan perkembangan semasa politik di Selangor dan kedudukan beliau sebagai menteri besar.
Tindakan Abdul Khalid itu dilihat susulan beliau kehilangan sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri Selangor selepas PAS kelmarin menggugurkan sokongan terhadapnya untuk meneruskan tugas sebagai menteri besar. — Bernama