Anda di sini

Kerja naik taraf kem PLKN capai kemajuan menggalakkan

Advertisement

KOTA KINABALU: Kerja menaik taraf Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) di seluruh negara bagi memenuhi garis panduan minimum yang ditetapkan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) mencapai kemajuan menggalakkan, kata Ketua Pengarah JLKN Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.

Beliau berkata seperti diarahkan kerajaan sebelum ini, semua pengusaha kem PLKN diberi tempoh sehingga Jun 2015 bagi menyiapkan kerja menaik taraf kem masing-masing untuk memenuhi garis panduan minimum berkenaan.

“Garis panduan minimum terakhir yang diberikan kepada mereka (pengusaha kem) mesti dilaksanakan sebelum pertengahan tahun 2015. Berdasarkan maklumat yang saya terima, kerja-kerjanya berjalan dengan baik,” katanya kepada pemberita pada majlis penerimaan pelatih PLKN Kumpulan 3, Siri 11/2014 di Kem PLKN Wawasan, Kg Ovai, Papar di sini semalam.

Pada majlis berkenaan, sebanyak 90 pelatih termasuk dari Kuala Lumpur dan Sipitang mendaftar diri.

Bagi Kumpulan 3, sebanyak 14,000 pelatih dijangka melapor diri di 81 buah kem di seluruh negara bagi mengikuti latihan selama tiga bulan.

Abdul Hadi berkata pematuhan kepada garis panduan minimum dan naik taraf disiapkan dalam tempoh ditetapkan amat mustahak kerana kegagalan pengusaha kem berbuat demikan akan menimbulkan banyak masalah kepada semua pihak termasuk kepada kerajaan di mana pelatih tidak dapat dihantar ke kem kerana ia tidak boleh beroperasi.

Beliau berkata pengusaha kem yang gagal menyiapkan kerja menaik taraf kem dalam tempoh berkenaan juga berdepan masalah kerana kemungkinan kontrak mereka akan dikaji semula oleh kerajaan.

Pengusaha dibenar melaksanakan kerja-kerja menaif taraf kem pada masa sesi latihan pelatih asalkan ia tidak menimbulkan gangguan dan mengancam keselamatan pelatih, katanya.

“Komandan kem akan bekerjasama dengan pengusaha kem untuk memastikan apabila sampai masa yang ditetapkan, tidak ada lagi kem PLKN yang tidak mematuhi syarat tersebut. Apabila semua siap, kedudukan kem secara am, akan berada pada tahap resot tiga bintang,” tambahnya.

Beliau meminta komandan dan jurulatih PLKN supaya memanfaat pengalaman pelatih terutama yang sebelum ini telah bekerja untuk dijadikan rujukan dalam menambah baik modul latihan.

Abdul Hadi berharap kira-kira 800,000 bekas pelatih PLKN diberi peluang mengaplikasi dan mempromosi idea dan pandangan hidup mereka berkaitan perpaduan, kesukarelawan dan kecintaan kepada negara untuk anggota masyarakat. — Bernama

Advertisement