Anda di sini

Perlu penyerang baharu

Advertisement

Rodgers mahu tempat Suarez diisi dengan segera

LIVERPOOL, England: Brendan Rodgers mengakui dia masih mahu menandatangani seorang penyerang baharu ketika Liverpool bersiap sedia untuk memulakan kehidupan tanpa Luis Suarez apabila mereka menentang Southampton di Anfield pada malam ini (Ahad).

Pemergian Suarez ke Barcelona dengan nilai 75 juta pound (RM401.3 juta) se­lepas dia digantung empat bulan kerana menggigit pemain lawan di kejohanan Piala Dunia baru-baru ini telah men­inggalkan Rodgers dengan lubang besar untuk diisi.

Pemain antarabangsa Uruguay itu menjaringkan 31 gol pada musim lepas ketika Liverpool menamatkan musim di tempat kedua dalam Liga Perdana, selepas gagal tipis untuk memenangi ke­juaraan liga utama mereka yang pertama sejak 1990.

Sejak itu Rodgers sudah menambah lapan pemain baharu dan dengan pemain pertahanan Sevilla Alberto Moreno yang bakal ditambah kepada jumlah tersebut, pengganti bagi Suarez masih satu ba­hagian yang hilang dari gambaran.

“Jika kita dapat menambah satu atau dua lagi, jendela kita boleh dikatakan hebat. Saya rasa musim panas ini adalah jendela terbesar kita bagi beberapa tahun akan datang,” kata Rodgers.

“Ia memang sudah menjadi hakikat bahawa kita perlu memperbaiki skuad. Kami belum membawa masuk penyerang lain setakat ini selain Rickie Lambert.

“Duit ada tetapi tiada pembelian panik yang telah berlaku. Kami perlu mem­perbaiki skuad tidak kira sama ada Luis masih ada di sini atau tidak.

“Kami akan berusaha untuk memper­baiki diri di bahagian atas liga sehingga ke penghujung jendela.

“Jika tidak, ia bermakna pemain yang tepat belum ada lagi. Saya gembira untuk memulakan musim baharu dengan skuad yang kami miliki.”

Liverpool ketinggalan hanya dua mata sahaja untuk melepaskan kejuaraan ke­pada Manchester City pada musim lepas dan Rodgers berharap kegagalan tipis itu dapat menjadi platform bagi satu lagi cubaan bagi menamatkan penantian lama kelab untuk menambah kejuaraan ke-19 kepada senarai kejohanan mereka.

“Apa yang kami buat pada musim lepas sudah berlalu tetapi ia telah memberi kami kepercayaan yang amat tinggi untuk memulakan tahun ini dan kami mengalu-alukan cabaran untuk menggerakkan kelab ke hadapan,” tambahnya.

“Seperti semua pasukan terkemuka, kita mahu memenangi piala. Itu adalah satu matlamat bagi kami sendiri.

“Namun dalam liga, ia adalah mengenai memelihara bola sepak Liga Juara-Juara. Itu bermakna tempat keempat yang kita mahu capai dan kemudian melihat lebih jauh daripada itu.

“Kami mahu memberikan cabaran dan berada di atas sana sekali lagi.”

Liverpool akan bermain tanpa dua pemain baharu Adam Lallana – bekas kapten Southampton – dan Lazar Markovic apabila menen­tang The Saints, selain dua pemain pertahanan Daniel Agger dan Jon Flanagan yang turut berada dalam senarai pemain cedera.

Sementara itu pengurus South­ampton Ronald Koeman se­wajarnya rasa lega kerana musim baharu akhirnya akan bermula.

Pramusim di St Mary’s telah didominasi pemain yang masuk dan keluar walaupun, selepas menyaksikan beberapa pe­main penting meninggalkan kelab – termasuk Lallana, Rickie Lambert dan Dejan Lovren ke Anfield – aliran akhirnya sudah terbalik.

Ketibaan penyerang Shane Long dari Hull City dan pemain pertahanan tengah dari Steaua Bucha­rest, Florin Gardos, pada pertengahan minggu ini menjadikan jumlah muka baharu dalam skuad Koe­man seramai lapan orang. — AFP

Advertisement