Anda di sini

Pellegrini yakin Man City lebih kuat pada musim ini

Advertisement

NEW­CASTLE, United Kingdom: Pengurus Manches­ter City Manuel Pel­legrini berpenda­pat dia memiliki skuad yang lebih kuat berband­ing pada musim lepas ketika juara terse­but bersiap sedia untuk memulakan kempen bagi memperta­hankan ke­juaraan Liga Perdana Inggeris di Newcas­tle pada malam ini (Ahad).

City memulakan musim mereka dengan kunjungan ke St James’ Park selepas menambah beberapa muka baharu ke dalam barisan pemain mereka sejak kejayaan memenangi Piala Liga dan Liga Perdana pada musim lepas.

Pellegrini menandatangani pemain per­tahanan Perancis Eliaquim Mangala dan pemain tengah Brazil Fernando dari Porto, penjaga gol Argentina Willy Caballero dari Malaga dan pemain pertahanan kanan Perancis Bacary Sagna secara percuma dari Arsenal.

City juga telah meminjam pemain tengah veteran Frank Lampard, yang dilepaskan oleh Chelsea semasa musim percutian, dari kelab kembarnya New York City FC.

Pellegrini percaya pengambilan pe­main-pemain tersebut meletakkan City pada kedudukan yang kukuh untuk mempertahankan kejuaraan selain mem­berikan cabaran yang mapan dalam Liga Juara-Juara.

“Pada musim lepas kami memiliki skuad yang sangat bagus dan menikmati tahun yang sangat berjaya,” kata Pellegrini.

“Namun ia adalah masa lalu dan ia adalah sejarah. Sekarang kita mesti cuba pada musim ini untuk memiliki skuad yang kuat dan saya rasa pemain seperti Willy, Bacary, seperti Mangala, Fernando, Frank Lampard akan menjadikan kami skuad yang kuat. Kita cuba memiliki skuad yang lebih kuat pada tahun ini.”

City akan bermain tanpa Mangala se­mentara dia membina kecergasan untuk bermain, maka Martin Demichelis akan berganding dengan kapten Vincent Kom­pany sebagai nadi pertahanan pada hujung minggu ini.

Penyerang Argentina Sergio Aguero, yang menandatangani kontrak baharu selama lima tahun pada minggu ini, mungkin juga akan direhatkan selepas dia bergelut dengan kecederaan di kejo­hanan Piala Dunia, manakala penyerang Sepanyol Alvaro Negredo disahkan tidak dapat bermain sehingga September akibat patah kaki.

“Mangala perlu lebih banyak bekerja dengan pasukan supaya dia dapat bermain. Ia tidak akan berlaku pada hujung minggu ini,” tambah Pellegrini.

“Saya rasa pasukan ini sentiasa memer­lukan Sergio Aguero tetapi ia juga penting baginya untuk mengadakan pramusim yang bagus. Dia sudah berbulan-bulan tidak bermain seperti kebiasaan.”

Newcastle merupakan antara kelab-kelab Liga Perdana yang paling sibuk di pasaran perpindahan pada musim percu­tian, dengan sembilan ketibaan baharu bernilai hampir 40 juta pound (RM214 juta).

Di antara mereka, dua pemain Perancis Remy Cabella dan Emmanuel Riviere, bekas pemain tengah Sunderland Jack Colback dan pemain pertahanan Belanda Daryl Janmaat dijangka akan tampil buat pertama kali dalam liga menentang City.

Seorang lagi daripada mereka yang ba­haru ditandatangani, bekas pemain tengah Ajax, Siem de Jong disahkan tidak akan bermain akibat masalah betis.

Pemain antarabangsa Ivory Coast, Cheick Tiote, yang telah dikaitkan den­gan penghijrahan bernilai 8 juta pound (RM42.8 juta) ke Arsenal, diketepikan akibat kecederaan hamstring.

Newcastle berharap untuk me­namatkan siri tanpa kemenangan dalam 16 perlawanan menentang City sejak sembilan tahun lalu, yang telah menyak­sikan mereka tewas dalam 10 perlawanan terakhir mereka dalam jadual liga ini, dan mengutip dua mata dari maksimum 45 mata. — AFP

Advertisement