Anda di sini

Misi mencari pemain cilik

Advertisement

ARAHAN: Jordan Humphrey sedang memberikan taklimat kepada para peserta sebelum memulakan
latihan.

Lebih 60 kanak-kanak mencuba nasib hari pertama Kem Bola Astro 1MCC

Oleh Harry Illias //

KUCHING: Lebih 60 kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun mencuba nasib pada hari pertama Kem Bola Astro 1MCC yang diadakan di Padang D, Jalan Stadium kelmarin.

Program anjuran Astro Kasih dengan kerjasama 1MCC Sports Sdn Bhd yang berpangkalan di Kuala Lumpur itu ber­tujuan mencari pemain cilik berbakat untuk dibawa menjalani lati­han bola sepak secara intensif ke luar ne­gara.

Ketua Pegawai Eksekutif 1MCC Sports Sdn Bhd Cameron Ng ber­kata, sambutan pada hari pertama cukup memberangsangkan dan yakin jumlah penyertaan akan ber­tambah pada hari terakhir pagi ini.

“Ini adalah kali keti­ga 1MCC mengadakan program sama di Sarawak sejak 2012 dan kita san­gat gembira dengan sambutan diberi­kan oleh peserta kali ini,” katanya semalam.

“Program ini ber­tujuan memberi latihan asas bola sepak kepada kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun untuk dipilih menjalani latihan secara intensif ke luar negara.”

Menurutnya, peserta ter­libat perlu mengharungi beberapa fasa ujian seperti melakukan hantaran jauh dan pendek, serangan, per­tahanan, kawalan bola dan penjaga gol.

Peserta yang berjaya men­gumpul markah tertinggi dari setiap ujian berpeluang men­jalani latihan lanjut ke luar negara namun venue masih belum ditentukan.

“Secara jujur, pemain tem­patan mempunyai kemahiran yang jauh lebih baik daripada pemain luar. Namun, mereka kurang daya kreativiti, tidak dapat membuat keputusan dengan pantas selain pen­guasaan bahasa Inggeris yang lemah.

“Justeru, seramai 64 peserta yang akan kita pilih dari kes­emua enam venue akan men­jalani latihan lanjut di Kuala Lumpur dengan memberi penekanan terhadap kerjasa­ma dalam pasukan, nilai positif menerusi program Bolasepak Menerusi Pendidikan 1MCC (ETF).”

Katanya, jumlah itu akan disaring lagi bagi memi­lih hanya 32 peserta untuk dibawa menjalani latihan secara intensif ke luar negara pada tahun hadapan.

Latihan selama dua hari itu dikendalikan oleh tiga ju­rulatih dari England Jordan Humphrey, Michael Leach dan Rhys Kelleher.

Mereka dibantu enam ju­rulatih tempatan antaranya bekas pemain Sarawak Jahar Nor, Sulaiman Mustanir dan Firdaus Ishak.

Seramai enam peserta dari Sarawak termasuk lima wanita terpilih untuk menjalani lati­han di Cardiff City semasa kem yang diadakan di Kuching pada 2012.

Kem seterusnya akan di­adakan di Perak (13-14 September), Pahang (20-21 September), Negeri Sem­bilan (27- 28 September) dan Kuala Lumpur (10-12 Oktober).

Untuk mendaftar, sila layari www.astrokasih.org/kem­bola.

Advertisement