Anda di sini

MAHA 2014 janjikan kelainan kepada pengunjung: KSU

Advertisement

TUARAN: Penganjuran Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2014 yang akan diadakan pada 20 hingga 30 Nov ini menjanjikan kelainan kepada  pengunjung berbanding penganjurannya pada tahun 2012, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Arif Ab Rahman.

“MAHA 2014 pasti menjanjikan suatu kelainan bagi pengunjung yang pernah menghadirinya sebelum ini melalui pewujudan kluster yang baharu seperti Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan, Industri Agro Makanan, Industri Asas Tani, Agro Belia, Cabaran Inovasi Pertanian Malaysia (MAgIC), Agro Pelancongan, Agro Gaya Hidup, Agro Dagang dan Agropreneur Muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian program ‘Road To MAHA’ 2014 peringkat Negeri Sabah di sini semalam. Perasmian disempurnakan  Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Mengenai program ‘Road To MAHA’ 2014 di Sabah, Mohd Arif berkata program berkenaan adalah yang ketujuh selepas di Pahang, Pulau Pinang, Kelantan, Perak, Kedah dan Melaka.

Katanya program berkenaan merupakan salah satu program turun padang untuk bertemu secara langsung dengan golongan sasar seperti  petani, peladang, penternak dan nelayan serta memberi khidmat nasihat dan bimbingan menerusi jabatan dan agensi di peringkat negeri bagi  menggarap transformasi pertanian menjadi sektor moden dan berdaya saing.

Melalui program seperti itu, Mohd Arif berkata pemahaman dan pendedahan mengenai inisiatif kerajaan untuk menjadikan sektor pertanian sebagai bidang utama pembangunan negara dapat dihebah dan disalurkan kepada semua peringkat masyarakat. — Bernama

Advertisement