Anda di sini

Urusan umat Islam lebih lancar melalui sistem pengurusan data berpusat

Advertisement

KANGAR: Pelaksanaan sistem pengurusan data berpusat di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan melancarkan lagi pengurusan hal-hal berkaitan nikah, cerai dan rujuk umat Islam di negara ini.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah segala maklumat dalam sistem itu yang diselaraskan di seluruh negara memberi pelbagai manfaat kepada umat Islam.

Baginda bertitah selain memudahkan carian rekod perkahwinan dan penyemakan status permohonan pasangan yang ingin berkahwin, sistem ini juga menyimpan maklumat mengenai mereka termasuk perceraian dan rujuk.

“Oleh itu tiada lagi alasan data-data mengenai individu Islam terbabit tidak akan diketahui oleh pihak berkuasa malah sistem penyampaian agensi kerajaan akan bertambah cekap,” titah Tuanku Syed Faizuddin.

Baginda bertitah merasmikan pelancaran Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM) peringkat negeri Perlis sempena persidangan Ketua Jabatan Agama dan Majlis Agama Islam seluruh Malaysia di sini, semalam.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir Ketua Pengarah JAKIM Datuk Othman Mustapha, Exco Agama Islam Perlis, Khairi Hasan dan Pengarah Jabatan Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Mohd Sokri Hussin.

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah sistem tersebut akan mempermudah proses semakan hubungan nasab untuk menentukan hak pembahagian harta pusaka, mengesan pemalsuan dokumen dan mengurangkan birokrasi termasuk tempoh kelulusan permohonan kebenaran berkahwin dan pendaftaran perkahwinan, perceraian dan rujuk. — Bernama

Advertisement