Anda di sini

Tiga sekolah di Melaka ditutup ekoran banjir kilat

Advertisement

BANJIR KILAT: Sekolah Kebangsaan Pulai di Jasin ditutup ekoran banjir kilat selepas hujan lebat melanda negeri itu selama lebih lima jam bermula awal pagi semalam. — Gambar Bernama

JASIN: Tiga buah sekolah di dua daerah ditutup semalam akibat banjir kilat berikutan hujan lebat lebih lima jam bermula awal pagi semalam.

Sekolah tersebut ialah Sekolah Kebangsaan Pulai, Jasin serta Sekolah Tinggi Perempuan Melaka dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Teja di Melaka Tengah.

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata ketiga-tiga sekolah terbabit dinaiki air bawah satu meter.

“Sekolah ditutup untuk keselamatan pelajar kerana kita khuatir bencana akan menyebabkan masalah lain seperti litar pintas,” katanya kepada pemberita ketika melawat Japerun Serkam di sini.

Beliau berkata banjir turut melibatkan beberapa kawasan di seluruh Melaka.

Daerah Jasin merupakan kawasan terjejas teruk yang melibatkan kira-kira 800 keluarga dengan jumlah mangsa sebanyak 3,000 orang, kata-nya.

Idris berkata empat bilik gerakan telah dibuka di daerah Jasin iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Mahkota, Sekolah Kebangsaan Datuk Haji Baginda, Sekolah Menengah Kebangsaan Dang Anum dan Sekolah Kebangsaan Sempang.

“Bilik gerakan dibuka untuk menyelaras bantuan dan situasi berjaga-jaga. Tiada pemindahan mangsa banjir setakat ini,” katanya.

Beliau berkata beberapa kawasan di Melaka Tengah termasuk Bukit Baru, Bukit Katil, Bukit Bayan, Bukit Pulau, Kampung Tanjung Minyak, Kandang, Solok Kemang, Pengkalan Renggam, Bukit Lintang, Paya Rumput dan Kota Lasamana turut mengalami banjir kilat.

Manakala di Daerah Alor Gajah, ia melibatkan kawa-san Tanjung Bidara, Sungai Tuang, Lubok Cina, Paya Mengkuang dan Pekan Masjid Tanah.

“Kita berharap penduduk di kawasan terjejas akan sen-tiasa peka dengan perkembangan atau arahan yang diberikan pihak berkuasa bagi mengelak sebarang kejadian yang boleh meragut nyawa,” kata Idris. — Bernama

 

Advertisement