Anda di sini

OKU berpeluang ikuti latihan di lebih 1,000 pusat latihan

Advertisement

MARAN: Lebih 1,000 pusat latihan termasuk 600 buah milik kerajaan di seluruh negara menyediakan pelbagai latihan kemahiran kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) termasuk yang cacat penglihatan dalam usaha membantu mereka menjalani kehidupan yang lebih terjamin.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Mutalib berkata latihan itu juga dapat membantu kerajaan melahirkan tenaga kerja terlatih dari kalangan golongan tersebut sekali gus memenuhi keperluan pasaran kerja negara.

“Terdapat lebih 7,000 orang ibu tunggal, OKU dan pelatih lain sedang mengikut pelbagai kursus serta latihan kemahiran di pusat-pusat tersebut pada masa kini.

“Yang amat dibanggakan sejak peluang latihan itu turut diberikan kepada golongan tersebut, kita telah berjaya melahirkan ramai tenaga kerja yang terlatih daripada golongan OKU dengan hampir 78 peratus daripadanya telah memperoleh peluang pekerjaan termasuk berniaga sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis sambutan Aidilfitri OKU Daerah Maran di Kompleks Perumahan Sinar Penyayang di sini semalam.

Katanya, golongan OKU yang berminat untuk mendapatkan latihan, perlu mendaftar terlebih dahulu dengan kementerian bagi tujuan saringan sebelum mereka yang terpilih ditempatkan di pusat latihan dengan kursus yang bersesuaian.

Ismail yang juga Ahli Parlimen Maran berkata, kerajaan tidak pernah mengabaikan kebajikan golongan OKU dan memberi jaminan akan terus membela nasib golongan berkenaan.

Menurutnya, ia termasuk menyalurkan geran bantuan dan peralatan kepada mereka yang berminat menjalankan perniagaan supaya mereka mampu hidup dan berdikari untuk membina masa depan yang lebih baik.

“Kerajaan ada menyediakan dana khas di bawah Skim Galakan Bantuan Perniagaan (SGBP) untuk golongan OKU dan sejak 15 tahun lalu hampir RM30 juta sudah dibelanjakan bagi membantu golongan terbabit dalam perniagaan,” katanya. — Bernama

Advertisement