Anda di sini

SAVA ikrar rampas kembali pingat emas

Advertisement

SIBU: Persatuan Bola Tampar Sarawak (SAVA) mahu pasukan bola tampar negeri merampas kembali pingat emas pada Kejohanan Bola Tampar Kebangsaan 2014 di Shah Alam dari 20 hingga 24 Ogos ini.

Presidennya, Temenggung Vincent Lau berkata ia bukan satu tugas mustahil bagi pasukan negeri merampas kejuaraan memandangkan negeri ini berjaya membentuk pasukan mantap.

“Jika pemain memberi sepenuh tumpuan, kita mampu pulang dengan pingat emas,” katanya pada majlis penyerahan bendera kepada pasukan Sarawak di Gelanggang Bola Tampar Taman Rejang, di sini malam kelmarin.

Hadir sama Timbalan Pengerusi SAVA Dr Gregory Hii Sui Cheng, Pengerusi SAVA merangkap Pengerusi Persatuan Bola Tampar Sibu (SVA), Dr William Ting serta ketua jurulatih pasukan wanita, Moh Ung Ming.

Sarawak merupakan juara bertahan bagi kategori wanita sementara pasukan lelaki menduduki tangga ketiga pada Kejohanan Bola Tampar Kebangsaan di Johor tahun lalu.

Pada kejohanan kali ini, pasukan lelaki Sarawak berada dalam Kumpulan B bersama Kuala Lumpur, Johor dan Pahang.

Pasukan wanita Sarawak dalam kumpulan bersama Pahang, Johor, Kuala Lumpur dan Selangor.

Lau juga mengingatkan pemain agar memberi sepenuh komitmen bagi memastikan kejayaan pada kejohanan ini.

“Setiap pemain harus bersatu dengan bekerja sebagai satu pasukan.

Saya yakin anda mampu merampas kejuaraan bagi kedua-dua kategori,” katanya yang merupakan ketua pasukan.

Lau juga mengingatkan pemain agar tidak memandang rendah pasukan lawan serta tidak gentar menghadapi mana-mana pasukan yang pernah bergelar juara.

Beliau juga berterima kasih kepada jurulatih pasukan dan pengurus pasukan yang telah berusaha sedaya upaya membentuk pasukan negeri yang mantap.

Pasukan Sarawak berlepas ke Shah Alam pada 19 Ogos ini.

 

Advertisement