Anda di sini

Pengawal keselamatan dihukum mati bunuh pegawai Ambank

Advertisement

SHAH ALAM: Seorang pengawal keselamatan warga Indonesia dijatuhi hukuman mati semalam selepas didapati bersalah membunuh pegawai Ambank cawangan Subang Jaya, Norazita Abu Talib pada Oktober tahun lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir turut menjatuhkan hukuman mati ke atas tertuduh, La Ode Ardi Rasila, 37, selepas dia didapati bersalah melakukan rompakan dan melepaskan tembakan menggunakan senjata api jenis ‘pump gun’.

Hakim Akhtar menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Dalam penghakiman ringkasnya, beliau berkata tertuduh didapati telah sengaja melepaskan tembakan ke arah mangsa untuk melakukan rompakan.

Katanya, berdasarkan keterangan pakar senjata api, terdapat tiga perkara perlu dilakukan sebelum melepas tembakan iaitu pam senjata, meletakkan pin ke arah tembakan dan menekan picu.

“Dalam keterangannya, tertuduh memberitahu bahawa dia tidak tahu dengan hanya pam senjata api itu, tembakan telah dilepaskan.

“Dengan keterangan (pakar senjata api), saya tidak dapat menerima keterangan tertuduh dan tanpa sebarang keraguan ini menunjukkan bahawa tertuduh telah melepaskan tembakan secara sengaja dan penuh pengetahuan,” kata Hakim Akhtar.

Selain itu, beliau berkata berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) jelas menunjukkan tertuduh melepaskan tembakan.

Beliau berkata berdasarkan pengamatannya, La Ode telah mengarahkan senjata ke arah mangsa sebelum menembak.

“Kalau dia hendak pam senjata tersebut untuk menarik perhatian, tertuduh boleh mengarahkan senjata ke arah lain,” katanya.

La Ode didakwa membunuh Norazita, 37, di dalam bangunan Ambank No. 5 dan 7, Jalan USJ Sentral 2, Subang Jaya dekat sini antara 6 petang dan 6.30 petang, 23 Okt tahun lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Tertuduh juga didakwa melakukan rompakan dan melepaskan tembakan menggunakan senjata api jenis ‘pump gun’ dengan niat menyebabkan kematian kepada Norazita di tempat dan pada masa sama, mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Unit Pendakwaan Selangor, Mohd Azari Harun bersama-sama Timbalan Pendakwa Raya Asyraf Md Kamal sementara tertuduh diwakili peguam S. Selvi yang dilantik Kedutaan Indonesia.

Seramai 24 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan bermula 24 Jun lepas.

Terdahulu, sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman, La Ode melalui peguamnya memohon maaf kepada keluarga mangsa dan kakitangan Ambank yang trauma dengan kejadian itu serta syarikat keselamatan, Kawalan Prima yang telah dibatalkanlesennya serta-merta disebabkan kejadian tersebut.

Sementara itu, suami Norazita, Irwan Kamaruddin, 38, ketika ditemui pemberita di luar mahkamah menyifatkan hukuman itu merupakan satu pembelaan terhadap isterinya.

Ditanya mengenai penerimaan dua anaknya selepas kematian ibu mereka, Irwan, seorang pemandu peribadi, berkata kedua-dua anaknya dapat menerima kenyataan atas apa yang berlaku terhadap Norazita.

“Saya terangkan kepada mereka walaupun saya tahu anak kami sangat sedih atas kehilangan ibu mereka,” katanya. — Bernama

Advertisement