Anda di sini

Optimis capai kutipan RM892 juta

Advertisement

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah optimis untuk mencapai sasaran kutipan hasil sebanyak RM892 juta pada tahun ini meskipun berbaki tempoh empat bulan lagi.

Pengarahnya Datuk Janathan Kandok menyatakan keyakinan terbabit adalah didorong oleh faktor musim perayaan akan datang serta pendapatan hasil daripada jumlah pelancong yang datang ke negeri ini.

Beliau berkata setakat 13 Ogos lalu, JKDM Sabah berjaya meraih kutipan sebanyak RM524 juta dengan duti eksport dan cukai perkhidmatan menjadi antara penyumbang terbesar.

“Sehubungan itu, saya berasa yakin bahawa Kastam Sabah berada di landasan tepat bagi mencapai atau melebih sasaran yang ditetapkan iaitu kutipan hasil sebanyak RM892 juta pada tahun ini meskipun berbaki empat bulan lagi.

“Faktor itu adalah terdorong dengan musim perayaan akan datang seperti Krismas dan Deepavali serta jumlah kedatangan pelancong sama ada domestik atau luar negara ke negeri ini,” katanya.

Mengulas lanjut, kejayaan pungutan hasil sebanyak RM837 juta pada tahun 2013 akan menjadi pendorong besar kepada pihaknya dalam melengkapkan sasaran yang ditetapkan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) JKDM Sabah tahun ini.

“Meskipun Sabah ditimpa pelbagai insiden, berdasarkan pungutan diraih setakat Ogos lalu menunjukkan negeri ini masih kekal sebagai destinasi digemari ramai.

“Insyallah, kita tidak akan mempunyai masalah untuk mencapai sasaran yang ditetapkan namun saya juga mahu memperingatkan kesemua warga JKDM Sabah untuk terus berusaha keras bagi memastikan pencapaian itu direalisasikan,” katanya.

Janathan berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program bual bicara sempena persaraan wajib Timbalan Pengarah JKDM Sabah (Perlesenan dan GST), Ayob Tabri di Pejabat JKDM Sabah, Plaza Tanjung Aru, di sini kelmarin.

Ayob dilaporkan bersara wajib berkuatkuasa kelmarin selepas berkhidmat selama 33 tahun di jabatan penguatkuasaan itu dan menjawat sebagai timbalan pengarah JKDM Sabah selama 3 tahun 4 bulan sebelum ini.

 

Advertisement