Anda di sini

Naik ‘gila’ bakar rumah

Advertisement

BEGINILAH keadaan kawasan rumah kongsi serta pacuan empat roda yang musnah terbakar dalam kejadian itu malam kelmarin.

RANAU: Seorang lelaki warga asing yang naik ‘gila’ ditahan polis sebaik bertindak membakar sebuah rumah kongsi dihuni bersama rakan-rakannya dalam kejadian di Kampung Mindohuon Lama, kira-kira 80 kilometer dari Pekan Ranau malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.50 malam itu, suspek, 53, yang dipercayai kurang siuman itu dikatakan melondeh pakaiannya sehingga berbogel sebelum membakar rumah kongsi terbabit.

Menurut saksi kejadian, suspek pada mulanya difahamkan meracau-racau di perkarangan rumah kongsi itu dengan mengatakan dia mahu dipukul sehingga terpaksa ditenangkan oleh beberapa rakannya di situ.

Bagaimanapun, suspek dipercayai bertindak di luar kawalan dengan mengambil satu botol difahamkan berisi minyak petrol lalu mencurahkannya ke rumah kongsi terbabit lalu membakarnya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ranau Asisten Superintenden Rosley Hobden ketika dihubungi kelmarin berkata, sepasukan anggota digegaskan ke lokasi kejadian sebaik mendapat panggilan berhubung insiden itu.

“Berdasarkan maklumat awal, setibanya di lokasi kejadian suspek telah ditahan oleh orang awam termasuk pekerja-pekerja di situ.

“Hasil siasatan mendapati suspek dipercayai kurang siuman dan bertindak membakar rumah kongsi di situ sehingga musnah terbakar sebelum dapat dipadamkan dengan bantuan pihak bomba,” katanya.

Menurut beliau, polis turut menahan empat lelaki berusia 30 hingga 40 tahun kerana didapati tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah dan kini direman untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/1963.

“Suspek turut ditahan mengikut Akta Imigresen selepas didapati tidak mempunyai dokumen sah sementara siasatan lanjut berkaitan kes berkenaan masih dijalankan polis,” katanya.

Sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Vigo yang berada di kawasan berhampiran kejadian turut dikatakan terjejas teruk akibat kebakaran berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Mohd Affendy K Ramin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.53 malam.

“Sebuah jentera dengan kekuatan empat anggota dari Balai Bomba Ranau telah digegaskan ke lokasi kejadian.

“Menurut maklumat awal, setibanya anggota di tempat kejadian difahamkan rumah kongsi dan sebuah pacuan empat roda di situ musnah terbakar,” katanya.

Beliau berkata, operasi itu ditamatkan kira-kira jam 11 malam berkenaan.

Advertisement