Anda di sini

Lelaki didenda kerana jalankan perniagaan kedai siber haram

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki didenda RM1,000 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret pagi semalam kerana kesalahan menjalankan perniagaan kedai siber atas talian secara haram.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Lovely Natasha Charles setelah tertuduh, Harry Luyang, 22, dari  Taman Tunku di sini mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 5 (2) Ordinan Hiburan 2001.

Mengikut kesalahan itu, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh sebagai penjaga premis dan mewakili pemilik premis didapati telah menjalankan perniagaan kedai siber secara atas talian tanpa mempunyai lesen yang sah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 9.50 malam, 8 Julai lalu di sebuah premis di Permy Technology Park di sini.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Nor.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret pagi semalam terhadap tuduhan memiliki perkakas pecah rumah.

Lium Aji, 54, dari Bukit Kisi, Bakong telah didakwa mengikut Seksyen 35 (b) Ordinan Kesalahan Kecil 1957, yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan atau denda RM1,000, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati ada memiliki beberapa perkakas pecah rumah seperti sebatang besi kuku kambing, sebatang pengumpil besi, lima pemutar skru, dua spana, enam bilah pahat, tiga playar, satu tukul bes, satu topeng muka, sepasang sarung tangan, satu penebuk lubang dan sebilah parang.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 12.20 pagi, 9 Ogos lalu di KM2 Jalan Batu Niah.

Terdahulu, pegawai pendakwa memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk pengurusan kes memandangkan tertuduh telah mengaku tidak bersalah serta minta dibicara lanjut.

Majistret Lovely Natasha Charles membenarkan permohonan itu dan menetapkan 4 September depan untuk pengurusan kes.

Manakala tertuduh dibenarkan dibebas dengan ikat jamin RM2,000 berserta dua penjamin tempatan.

Advertisement