Anda di sini

K’jaan Selangor terima surat letak jawatan Rodziah: Khalid

Advertisement

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pihaknya telah menerima surat peletakan jawatan daripada Rodziah Ismail sebagai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) berkuat kuasa semalam.

Beliau berkata peletakan jawatan Rodziah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga itu adalah sah mengikut Artikel 53 (7) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor yang menyatakan mana-mana exco boleh meletak jawatan pada bila-bila masa.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada Rodziah atas sumbangan dan khidmat yang diberikan sepanjang menjadi exco Kerajaan Selangor,” katanya dalam satu kenyataan ringkas di sini semalam.

Kenyataan Abdul Khalid itu sekali gus menjawab tanda tanya mengenai kedudukan Rodziah, anggota exco daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), berikutan dua lagi anggota exco daripada parti yang sama, Dr Daroyah Alwi dan Elizabeth Wong Keat Ping telah digugurkan oleh Menteri Besar itu.

Turut digugurkan ialah Datuk Teng Chang Khim, Ean Yong Hian Wah dan V. Ganabatirau daripada DAP.

Kelmarin, Abdul Khalid dilaporkan berkata pemecatan kelima-lima exco terbabit tidak melibatkan Rodziah yang ketika itu berada di luar negara dan kedudukannya akan diputuskan selepas beliau pulang ke tanah air.

Rodziah bagaimanapun dalam kenyataan media pagi semalam berkata beliau akur dengan keputusan parti berhubung kedudukan beliau.

Sementara itu, Kerajaan Selangor memutuskan semua anggota Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sedia ada dikekalkan sekiranya mereka bersedia untuk berkhidmat di bawah pentadbiran kerajaan negeri.

Khalid berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) hari ini (semalam) selepas mengambil kira senario politik semasa di negeri ini.

Beliau berkata kerajaan negeri turut mengalu-alukan rakyat Selangor daripada golongan profesional dan aktivis masyarakat untuk mengisi kekosongan jawatan ahli majlis PBT.

“Bagi mengisi kekosongan 51 jawatan anggota majlis PBT, MTES membuat keputusan supaya tawaran bagi mengisi sebahagian kekosongan itu dibuka kepada rakyat Selangor yang berkelayakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Abdul Khalid berkata kerajaan negeri juga ingin memastikan khidmat kesemua PBT di Selangor dipertingkatkan selaras dengan taraf negeri ini sebagai negeri maju. — Bernama

Advertisement