Anda di sini

Jangan pinjam dengan ‘along’

Advertisement

KOTA KINABALU: Melihat sudah ramai orang yang terpedaya dengan helah ‘along’ yang menawarkan pinjaman wang mudah, golongan wanita di negeri ini dinasihatkan agar tidak membuat pinjaman daripada pihak terbabit bagi mengelak menjadi mangsa.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata, orang selalunya terpedaya dengan pinjaman wang mudah daripada along kerana prosesnya sangat mudah.

Namun, ramai orang terpedaya dan gagal membayar balik pinjaman yang diperoleh daripada along disebabkan kadar faedah yang dikenakan terlalu tinggi.

“Oleh itu, saya menyarankan masyarakat di negeri ini terutama wanita agar lebih berhati-hati apabila ingin membuat pinjaman wang,” katanya ketika merasmikan Direktori Usahawan Wanita Sabah 2014 di Wisma Wanita, di sini kelmarin.

Beliau berkata, sikap berhati-hati perlu kerana kebanyakan along tidak mengelar diri mereka sebagai along sebaliknya memperkenalkan diri sebagai pemberi pinjaman wang mudah. Kaedah inilah yang membuatkan ramai orang terpedaya.

Dalam majlis itu, Jainab turut menyampaikan bantuan kewangan mikro kepada empat institusi iaitu Majlis Amanah Rakyat (Mara), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Yayasan Usaha Maju (YUM) dan Tekun Nasional (Tekun).

Seramai 304 usahawan mikro wanita menerima bantuan pinjaman daripada keempat-empat institusi yang telah berjaya membantu wanita dari segi kewangan untuk meningatkan pendapatan perniagaan mereka.

Sehingga 31 Disember 2013, Mara, AIM, YUM dan Tekun masing-masing telah memberikan pinjaman berjumlah RM136,927,400, RM92,343,010, RM22,790,600 dan RM34,768,000 kepada 47,000 pemohon pinjaman di Sabah.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur Usahawan Mikro Wanita Sabah 2014, Hanaa Wong Abdullah berkata, penganjuran program itu tercetus melalui idea jawatankuasa ekonomi Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) pada tahun lalu.

Beliau berkata, tujuan menyenaraikan usahawan mikro wanita dalam direktori itu adalah untuk menonjolkan kumpulan usahawan mikro wanita di samping membantu memaparkan perniagaan mereka.

“Pemilihan usahawan mikro sebagai penerima pinjaman institusi yang terlibat dibuat berdasarkan kajian yang dilakukan.

“Kajian membuktikan wanita adalah peminjam dan pembayar yang baik serta mampu menjalankan dan memiliki perniagaan yang berjaya.

“Wanita-wanita yang disenaraikan dalam direktori ini terdiri daripada usahawan mikro yang terpilih berdasarkan rekod baik pembayaran balik pinjaman mereka yang sangat memuaskan dan mereka telah membuktikan kemahiran perniagaan mereka dalam mengekal dan mengembangkan perniagaan,” jelasnya.

Dalam majlis itu, lapan orang wanita dipilih daripada kumpulan direktori itu untuk menjadi ikon dan teladan kepada usahawan wanita lain untuk lebih berjaya.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Siti Sapoo Ahok, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah Fatimah Jaafar, dan Pengerusi MPWS Datuk Mariati Robert.

Advertisement