Anda di sini

Gimnas Sarawak perlu perhatian

Advertisement

KUCHING: Sukan gimnastik Sarawak khasnya gimrama memerlukan perhatian dari aspek dana bagi menaik taraf peralatan serta jurulatih yang berpengalaman dari luar negara meningkatkan mutu sukan berkenaan.

Presiden Persatuan Gimnastik Amatur Sarawak, Helena Wee berkata keperluan sedemikian amat penting kepada gimnas sebagai persiapan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 dengan menjalankan latihan secara konsisten.

Jelasnya, dengan kekurangan peralatan serta jurulatih yang diperlukan menjadi kekangan kepada gimnas meneruskan latihan secara konsisten yang perlu dilakukan setiap hari sebagai persediaan menghadapi temasya.

“Pada satu ketika dahulu, gimrama menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan dari segi pencapaian dengan bantuan jurulatih dari China.

“Bagaimanapun, selepas jurulatih terbabit tidak lagi berkhidmat kita menunjukkan sedikit penurunan dan agak lambat dari segi perkembangan namun kita bernasib baik kerana bekas gimnas, Shaleen Tay mahu membantu melatih gimnas kita kini dalam lingkungan 80 orang,” katanya pada sidang media selepas kunjungan Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Fatimah Abdullah bagi menjemputnya sebagai penaung kepada persatuan di pejabat Fatimah di sini semalam.

Sehubungan itu, pihaknya juga amat memerlukan jurulatih luar negara berkelayakan membantu mengilap bakat serta melatih pasukan pelapis.

Menurut Helena, pihaknya akan menghantar tujuh gimnas bagi gimrama pada 13 hingga 20 September ini ke Bukit Jalil, Kuala Lumpur menjalani latihan yang menggunakan khidmat jurulatih daripada Jepun.

Bukan sahaja kekangan daripada jurulatih, gimrama yang kini mengambil tempat di Queen’s Court sebagai venue latihan masih kekurangan peralatan terutamanya karpet untuk gimnas melakukan latihan.

“Kami menerima peruntukan RM15,000 setahun daripada Kementerian Pembangunan Sosial namun hanya untuk kedua-dua disiplin gimrama dan artistik.

“Karpet baharu dengan ‘under-layer’ untuk gimnas kita amat penting kerana karpet yang baik adalah bagi melindungi gimnas kita daripada sebarang insiden atau kecederaan,” katanya.

Beliau memberitahu bagi kategori artistik pula, kini berada dalam keadaan memuaskan mendapat khidmat jurulatih luar negara, Bogomil Ivanov dengan mencatatkan banyak kejayaan dalam meraih pingat pada beberapa kejohanan.

Sementara itu, sebagai respon Fatimah memberitahu kementeriannya prihatin dengan keperluan yang dinyatakan persatuan itu sebagai usaha melahirkan lebih ramai bakat gimnastik negeri ini.

“Bagaimanapun, saya akan turun padang untuk melawat venue latihan nanti bagi melihat peralatan serta kemudahan yang mereka perlukan.

“Ini kerana, kita menyedari bahawa untuk melahirkan bintang sukan ini ia bukan sahaja memerlukan minat individu itu sendiri tetapi perlu dilengkapi dengan peralatan yang baik untuk menjalani latihan serta jurulatih yang akan membangunkan potensi serta minat mereka,” katanya.

Meskipun sudah mempunyai jurulatih tempatan, beliau percaya skuad gimnas Sarawak bagi gimrama memerlukan jurulatih yang lebih banyak terdedah dengan pertandingan bertaraf antarabangsa.

 

Advertisement