Anda di sini

Lima exco dipecat kerana khianati 10 Akujanji dan Sumpah Kesetiaan

Advertisement

SHAH ALAM: Pemecatan lima anggota exco kerajaan negeri Selangor yang berkuat kuasa kelmarin adalah sah dan telah diperkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam sidang medianya semalam berkata pemecatan mendapat perkenan Sultan Sharafuddin selepas dua jam surat mohon perkenan diutus kepada pihak Istana tengah hari kelmarin.

Katanya sebab utama pemecatan itu adalah kenyataan bersama mereka yang bercanggah dengan 10 Akujanji dan Sumpah Kesetiaan ketika dilafaz semasa mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor sebelum ini.

Lima exco yang terlibat ialah tiga daripada DAP iaitu Datuk Teng Chang Khim, Ean Yong Hian Wah dan V. Ganabatirau manakala daripada PKR ialah Elizabeth Wong Keat Ping dan Dr Daroyah Alwi.

Berikut 10 Akujanji dan Sumpah Kesetiaan yang dilafaz semua Anggota Exco ketika dilantik:

1. Memelihara dan menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara

2. Memelihara dan melin-dungi kesucian dan keagu-ngan agama Islam sebagai Agama Negeri dan kepercayaan orang Islam daripada diganggu gugat oleh mana-mana pihak. Pada masa sama menghormati hak agama lain diamalkan oleh orang bukan beragama Islam.

3. Memelihara kedaulatan institusi Raja dan mempertahankannya daripada dicemari dan daripada diganggu-gugat oleh mana-mana pihak.

4. Mematuhi segala arahan dan ketetapan yang dikeluarkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dari semasa ke semasa termasuk adab dan tatatertib semasa berada di Istana dan ketika istiadat rasmi istana dilangsungkan.

5. Memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan pada masa yang sama kepen-tingan sah kaum lain seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.

6. Melaksanakan tugas dengan integriti yang tinggi, penuh rasa tanggungjawab, amanah, jujur dan ikhlas.

7. Mendahulukan rakyat selagi mana ia tidak menjejaskan kepentingan, kestabilan, kemakmuran dan keselamatan negeri.

8. Memastikan kestabilan, kemakmuran dan keselamatan negeri di tahap yang tertinggi dan memelihara hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan dan juga negeri-negeri lain dalam Persekutuan.

9. Memelihara jawatan yang dipegang daripada dicemari dengan pelakuan-pelakuan yang menyalahi undang-undang; dan

10. Memastikan perpaduan antara kaum dengan menitikberatkan semangat muhibah, tolak ansur dan kerjasama antara kaum, demi menjamin kestabilan dan keharmonian rakyat berbilang kaum di negeri Selangor.

Kelmarin, Abdul Khalid memutuskan lima anggota exco daripada PKR dan DAP dipecat selepas mendapati kesemua mereka terlibat mewujudkan blok kumpulan yang bertujuan melemahkan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri.

Keputusan itu dibuat susulan kelima-lima exco kerajaan negeri itu bertindak membuat kenyata-an media yang antara lain mahu proses undian dibuat dalam membuat sebarang keputusan majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri selain tidak menyokong Abdul Khalid terus kekal sebagai menteri besar walaupun telah diper-kenan oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah. — Bernama

Advertisement