Anda di sini

Tiada diskriminasi jantina di lokasi nahas MH17

Advertisement

SEPANG: Tidak wujud diskriminasi tugas terhadap petugas khas wanita Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam usaha penyiasatan di kawasan lokasi nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 di Ukraine.

Inspektor How Sin Ni, 27, seorang daripada enam petugas khas wanita yang diterbangkan ke lokasi berkenaan sejak dua minggu lepas berkata masing-masing tidak kira lelaki atau perempuan memberikan komitmen terbaik untuk membantu Malaysia mencari kebenaran.

“Tugas kami sama seperti anggota lelaki, apa yang mereka buat, kami juga perlu buat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam bersama-sama 33 anggota PDRM yang lain serta Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

How yang juga anggota forensik PDRM, berkata selain mereka berenam, pasukan penyiasat antarabangsa juga dianggotai kaum wanita dan semua memberikan kerjasama serta komitmen yang baik.

Seorang lagi petugas wanita, Lilian Lemat Ngau Jok, 29, berkata meskipun tidak menafikan wujud perasaan takut ketika memasuki kawasan nahas tersebut kerana ia kawasan bergolak, namun semangat kuat untuk membantu Malaysia membuatkan beliau nekad.

“Sewaktu saya masuk ke kawasan nahas tiada bunyi sebarang letupan tetapi sewaktu rakan lain masuk, memang ada yang menceritakan pengalaman itu. Bagaimanapun, kekangan itu langsung tidak mematahkan semangat kami,” katanya.

Penerbangan MH17, sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia terhempas di Donetsk, timur Ukraine berdekatan sempadan Rusia pada 17 Julai.

Pesawat Boeing 777-200 itu membawa 298 orang termasuk 43 warga Malaysia – dipercayai ditembak jatuh, namun setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan perbuatan kejam itu. — Bernama

Advertisement