Anda di sini

Mayat 16 mangsa MH17 rakyat M’sia dikenal pasti

Advertisement

Kerajaan sedang berusaha membawa pulang ke tanah air

KUALA LUMPUR: Mayat 16 mangsa warga Malaysia dalam nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 telah dikenal pasti, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Dalam kenyataan di sini semalam, beliau berkata kerajaan Malaysia sedang berusaha untuk membawa pulang mayat mangsa berkenaan ke tanah air.

“Kami secara berterusan bekerjasama rapat dengan kerajaan Belanda dan negara lain untuk mengenal pasti mayat mangsa.

“Kami telah memaklumkan kepada anggota keluarga di Malaysia bahawa kerajaan akan mengadakan istiadat penghormatan apabila mayat mangsa tragedi itu tiba di tanah air,” kata beliau.

Liow berkata sebagai tanda penghormatan dan menghormati privasi mereka, kerajaan dalam proses berbincang dengan waris keluarga berhubung dengan istiadat penghormatan apabila mayat mangsa tiba di Malaysia dan hasrat mereka akan dipenuhi.

“Justeru, adalah menjadi hasrat kami bahawa kerjasama ini akan memberi manfaat kepada waris mangsa dan pada masa yang sama menghormati hasrat anggota keluarga dan memastikan penghormatan diberikan kepada mayat mangsa.

“Sesungguhnya, negara berkabung atas pemergian warga Malaysia dalam nahas itu. Kita perlu bersatu untuk membantu dalam proses pemulihan dalam saat-saat yang sukar ini terutama bagi mereka yang kehilangan orang tersayang,” kata Liow.

Penerbangan MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal. Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh di negara bergolak itu.

Selain 43 warga Malaysia, penumpang pesawat itu turut terdiri daripada warganegara Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand. — Bernama

Advertisement