Anda di sini

Kawal ketat kekang tiket palsu

Advertisement

Oleh Mahathir Haroun

Abdullah menegaskan hanya penonton yang memiliki tiket sah akan dibenarkan masuk

KUCHING: Dalang penjualan tiket palsu akan terus dijejak Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) biarpun beberapa tangkapan dibuat sebelum ini, kata Setiausaha Agungnya Abdullah Julaihi.

Sehubungan itu beliau berkata, FAS akan mengetatkan kawalan untuk mengekang tiket palsu kerana kebiasaannya dalam saingan Piala Malaysia ada pihak akan mengambil kesempatan.

Menurutnya , penjualan tiket pal su secara berleluasa mungkin akan menyebabkan Stadium Negeri terlalu padat sekaligus boleh menjejaskan keselamatan penonton.

“ Stadium kita (Stadium Negeri) hanya mampu menampung 25,000 penonton, kalau tiket palsu banyak dijual sudah pasti orang ramai masuk dan pada masa sama menjejaskan keselamatan.

“Jadi kita akan membuat persediaan awal dengan mengetatkan kawalan terhadap tiket palsu,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Tambahnya, FAS akan ‘memasang’ pegawai untuk menyamar sebagai pembeli untuk membendung penjualan tiket palsu daripada berleluasa.

“Kawalan dipintu masuk stadium juga diperketatkan dan penonton yang memiliki tiket sah sahaja dibenarkan masuk.

“Tiket yang sah hanya dijual di stadium dan ejen yang sah sahaja,” ujarnya sambil menambah hampir 100 tiket palsu dikesan sebelum ini.

Dalam perkembangan sama Abdull ah menjelaskan , pihaknya menggalakkan penonton dari luar Kuching untuk membeli tiket menerusi atas talian bagi mengelak membeli tiket palsu.

“Sambutan terhadap pembelian tiket atas talian amat menggalakkan dengan peningkatan 10 hingga 15 peratus,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai tiket sah Abdullah berkata, setiap tiket sah yang dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mempunyai logo hologram.

“Kalau logo (hologram) tidak nampak maka ia tiket palsu. Jadi penonton perlu berhati-hati,” kata Abdullah.

Abdullah turut berterima kasih kepada penonton Sarawak kerana tidak membakar suar dalam tiga perlawanan terakhir yang berlangsung di Stadium Negeri sebelum ini.

“Ia (tidak membakar suar) akan memberi semangat tinggi kepada pemain untuk meningkatkan prestasi terutama dalam kancah Piala Malaysia,” tambahnya.

Advertisement