Anda di sini

Exco PKR, DAP tidak akan berjumpa dengan Khalid

Advertisement

SHAH ALAM: Enam anggota exco kerajaan negeri Selangor daripada DAP dan PKR akan terus menjalankan tugas masing-masing tetapi menegaskan tidak akan berjumpa dengan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kecuali pada mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Datuk Teng Chang Khim, Ean Yong Hian Wah dan V. Ganabatirau daripada DAP serta Rodziah Ismail, Elizabeth Wong Keat Ping dan Dr Daroyah Alwi daripada PKR berkata mandat yang ditetapkan parti mereka itu bagi mengelak sebarang perbincangan tentang kedudukan parti masing-masing.

“Selain itu, dalam urusan yang melibatkan kami, kedudukan dan fungsi Abdul Khalid hanyalah dalam kapasiti peralihan sementara me-nunggu seorang menteri besar daripada Pakatan Rakyat dilantik.

“Abdul Khalid dan MMKN juga tidak boleh membuat sebarang keputusan tanpa melalui proses undian. Sebarang keputusan MMKN perlulah diundi supaya fungsi Abdul Khalid dihadkan kepada kapasiti peralihan,” kata mereka dalam kenyataan bersama semalam.

Enam exco itu berkata kese-mua perkara berkenaan akan dilaksanakan serta-merta.

Mereka berkata seperti yang dimaklumkan sebelum ini, PKR dan DAP akan menggunakan kaedah yang menepati Undang-undang Tubuh Negeri serta enakmen berkenaan untuk mengem-balikan tampuk pemerintahan kerajaan Selangor kepada Pakatan Rakyat yang dipilih rakyat.

“Sebagai menghormati kehendak rakyat dan titah Sultan Selangor, kami akan terus menjalankan tugas mengikut mandat yang di-berikan kepada Pakatan Rakyat sementara perkara ini diselesaikan secara baik dan seorang menteri besar daripada Pakatan Rakyat mengambil alih dalam masa terdekat,” kata mereka.

Kelmarin, Abdul Khalid dilaporkan akan mengadakan pertemuan dengan barisan exco kerajaan negeri secara individu bagi mengetahui sokongan dan pendirian mereka terhadap kepimpinan beliau selepas mendapat per-kenan Sultan Selangor untuk terus kekal sebagai menteri besar Selangor.

Beliau turut menyarankan supaya anggota exco yang tidak menyokong kepimpinan beliau untuk meletakkan jawatan.

Empat anggota exco daripada PAS telah memutuskan untuk kekal dalam barisan exco kerajaan negeri.

Mereka ialah Dr Ahmad Yunus Hairi, Dr Halimah Ali, Iskandar Abdul Samad dan Sallehen Mukhyi.

Barisan exco kerajaan negeri Selangor terdiri daripada empat wakil PAS dan masing-masing tiga wakil PKR dan DAP. — Bernama

Advertisement