Anda di sini

Empat exco PAS terus berkhidmat bawah Khalid

Advertisement

SHAH ALAM: Empat anggota exco kerajaan negeri Selangor daripada PAS akan terus berkhidmat di bawah pentadbiran Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim seperti yang diarahkan oleh pucuk pimpinan parti itu.

Seorang daripada exco berkenaan, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Dr Ahmad Yunus Hairi berkata beliau dan tiga lagi exco juga akan berbincang untuk mencari jalan terbaik dalam mentadbir kerajaan negeri.

“Kita putuskan untuk tidak meletakkan jawatan sebagai exco seperti dikehendaki PAS pusat…itu sahaja yang boleh saya komen,” katanya kepada pemberita di lobi Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini semalam.

Selain Dr Ahmad Yunus, tiga lagi exco kerajaan negeri daripada PAS ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Dr Halimah Ali; Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar Iskandar Abdul Samad dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa Sallehen Mukhyi.

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Yunus berkata beliau telah berjumpa Abdul Khalid semalam bagi melihat kedudukan anggota exco yang tidak meletak jawatan.

“Saya ada jumpa Menteri Besar dalam dua hingga tiga minit sahaja untuk fikir bagaimana nak bekerja untuk rakyat sebab yang lain (anggota exco) ada di luar…tiada apa perbincangan lain kecuali ini saja,” katanya.

Selain Dr Ahmad Yunus, turut kelihatan hadir di Bangunan SUK semalam ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Elizabeth Wong Keat Ping dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Datuk Teng Chang Khim, kedua-duanya daripada DAP.

Teng ketika ditemui pemberita bagaimanapun berkata tiada sebarang pertemuan diadakan dengan Abdul Khalid, namun beliau hadir ke pejabat untuk bekerja seperti biasa.

Wong pula enggan meng-ulas lanjut mengenai kehadiran beliau dan hanya berkata “no comment” kepada pemberita.

Sementara itu, dua exco kerajaan negeri daripada PKR iaitu Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan dan Hal Eh-wal Wanita, Rodziah Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Daroyah Alwi gagal dihubungi.

Kelmarin, Abdul Khalid dilaporkan akan mengadakan pertemuan dengan barisan exco kerajaan negeri secara individu semalam bagi mengetahui sokongan dan pendirian mereka terhadap kepimpinan beliau selepas mendapat perkenan daripada Sultan Selangor untuk kekal sebagai Menteri Besar Selangor.

Menteri Besar itu turut me-nyarankan supaya anggota exco yang tidak menyokong kepimpinan beliau supaya meletak jawatan.

Anggota exco kerajaan negeri Selangor dibarisi empat wakil PAS dan masing-ma-sing tiga daripada DAP dan PKR. — Bernama

Advertisement