Anda di sini

15 ADUN PAS digesa memberi sokongan penuh kepada MB Selangor

Advertisement

KOTA BAHARU: Kesemua 15 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS Sela-ngor perlu memberi sokongan penuh kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang kekal menerajui Selangor sebagai Menteri Besar.

Anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata sokongan berkenaan selari dengan pendirian Majlis Syura Ulama PAS yang mempertahankan Abdul Khalid untuk kekal sebagai Menteri Besar Selangor.

“Apabila Majlis Syura Ulama PAS membuat keputusan menyokong Abdul Khalid dan selagi parti masih belum membuat apa-apa keputusan (lain) mengenainya, dari segi kewajipan wakil rakyat PAS Selangor akan (terus) bersama-sama beliau (Abdul Khalid).

“Arahan juga sudah di-keluarkan kepada Exco PAS Selangor supaya kekal dengan jawatan yang ada sekarang,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, semalam.

Kelmarin, Sultan Sela-ngor Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan kepada Abdul Khalid untuk kekal sebagai Menteri Besar walaupun dipecat keanggotaannya daripada PKR, Sabtu lalu.

Perkenan baginda itu di-umumkan sendiri oleh Abdul Khalid dalam sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan selepas Majlis Dewan Diraja Selangor mengadakan mesyuarat di Istana Alam Shah, Klang bagi membincangkan antara lain kedudukan jawatan menteri besar.

Pada 7 Ogos lalu, Majlis Syura Ulama PAS memutuskan bahawa Abdul Khalid tidak boleh digugurkan daripada jawatan Menteri Besar Selangor selagi beliau tidak disabitkan sebarang pelanggaran terhadap amanah sebagai menteri besar yang mewajarkannya disingkirkan.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata Majlis Syura Ulama merupakan badan tertinggi dalam parti dan segala yang diputuskan majlis itu selalunya tidak akan disanggah oleh anggota mahupun kepimpinan. — Bernama

Advertisement