Anda di sini

Sokongan keluarga diperlukan

Advertisement

Oleh SURAIDAH ROSLAN

 

Basir (tiga kanan) bersama Nora (tiga kiri) memotong kek sebagai simbolik perasmian Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri Penjara Wanita KK.

Demi kelancaran pemulihan penghuni penjara

KOTA KINABALU: Bagi memastikan kelangsungan kepada aktiviti pemulihan di penjara wanita berjalan lancar, keluarga penghuni penjara diharap dapat memberi sokongan ke arah usaha itu.

Pengarah Penjara Negeri Sabah Ab Basir Mohamad berkata, dalam melaksanakan program pemulihan terhadap penghuni penjara, sokongan keluarga amat diperlukan termasuklah dalam program perjumpaan dengan ibu bapa seperti sambutan Hari Raya yang diadakan.

Beliau berkata, kehadiran ibu bapa dan keluarga amat penting kerana penghuni penjara amat memerlukan sokongan daripada mereka.

“Penghuni pula haruslah menanam keazaman dalam diri supaya perayaan aidilfitri itu menjadi perayaan terakhir bagi mereka di penjara.

“Selepas dibebaskan kelak, penghuni harus menanam keazaman untuk menjadi anak yang baik kepada ibu bapa dan keluarga mereka,” katanya semasa berucap sempenaMajlis sambutan Jalinan Kasih Aidilfitri peringkat penghuni penjara wanita Kota Kinabalu (KK), di sini kelmarin.

Basir berkata, penghuni yang sudah berstatus ibu pula haruslah menjadikan proses pemulihan sebagai medium untuk menjadi ibu yang baik.

Manakala, bagi penghuni Sekolah Henry Gurney pula, sokongan ibu bapa amat diperlukan untuk menyokong mereka sekiranya mereka berjaya melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi kelak.

Dalam majlis itu, seramai 18 penghuni penjara wanita diberi kesempatan meraikan Aidilfitri bersama ibu bapa dan keluarga tersayang.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Pengarah Penjara Wanita KK Nora Musa.

Advertisement