Anda di sini

Remaja terima 10 jahitan di pipi terkena tembakan senapang guli

Advertisement

Oleh Mohd Nazib Macpee

LAHAD DATU: Seorang remaja lelaki menerima 10 jahitan di bahagian pipi sebelah kiri selepas terkena serpihan tembakan senapang buatan sendiri (senapang guli) dalam kejadian yang berlaku di ladang Cantawan Silabukan, dekat sini Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa yang berumur 17 tahun dan nyaris buta akibat tembakan itu dikejarkan ke Hospital Daerah Lahad Datu untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Shamsudin Mat berkata, bersabit kes itu seorang lelaki (pemegang pasport) berumur 40-an telah ditahan dan merampas selaras senapang angin buatan sendiri di kediamannya.

Menurut Shamsudin, berdasarkan siasatan awal pihaknya difahamkan pada malam kejadian itu, suspek dipercayai sedang membersihkan senjatanya di halaman kaki lima di kediamannya selepas menjalankan aktiviti memburu ayam hutan.

“Semasa sedang membersihkan senjata, tidak semena-mena suspek dipercayai telah terlepaskan satu das tembakan yang kemudiannya mengenai bahagian pipi sebelah kiri remaja terbabit yang mana pada ketika itu mangsa sedang duduk santai di sebuah pondok di halaman rumahnya pada jarak kira-kira 30 meter.

“Akibat kejadian itu, bapa saudara mangsa yang berada di rumah kemudiannya bersama beberapa orang jiran bertindak menahan suspek dan merampas senjata buatan sendiri sebelum diserahkan ke Ibu Pejabat Daerah Polis Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Jelasnya, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 8 (a)/37 Akta Senjata 1960, yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM5 ribu, atau kedua-duanya sekali.

 

Advertisement