Anda di sini

Program Pengurus Kediaman akan dimantapkan lagi: Rohani

Advertisement

APA KHABAR?: Muhyiddin dan isteri Noorainee beramah mesra bersama waris penumpang MH370, Melanie Antonio Inna (kiri) dan anaknya Maira Elizabeth Nari (dua kiri) semasa menghadiri Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Rohani (kanan). — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan memperhebat Program Pengurus Kediaman bagi merealisasi matlamat 55 peratus tenaga kerja wanita mulai tahun depan.

Menterinya, Datuk Rohani Abdul Karim berkata program yang diperkenal pada 2008 itu akan dipertingkat dengan mengalakkan golongan wanita, termasuk ibu tunggal dan lepasan sekolah, menceburinya sebagai satu kerjaya.

Pengurus Kediaman ialah satu program yang menawarkan perkhidmatan pembantu rumah berkelayakan, terlatih dan profesional.

Program yang menyediakan perkhidmatan secara sambilan itu dibayar berdasarkan kiraan jam bekerja.

Rohani berkata program itu sebelum ini kurang mendapat sambutan kerana masyarakat bergantung kepada pembantu warga asing dan kadar bayaran yang dianggap murah.

“Tetapi, sekarang masyarakat meminta untuk hebatkan semula program ini bagi mengurangkan kebergantungan rakyat Malaysia kepada pembantu warga asing kerana sukar mendapat tenaga kerja asing itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri anjuran kementerian itu di sini semalam.

Rohani berkata kementeriannya juga akan mengkaji satu kadar munasabah sebagai bayaran kepada Pengurus Kediaman.

Menyentuh pengurusan jenazah mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17, beliau berkata setakat ini, 80 peratus daripada waris penumpang warganegara Malaysia telah memaklumkan kehendak mereka apabila jenazah tiba di tanah air kelak.

“Baki 20 peratus lagi waris penumpang belum membuat sebarang keputusan mengenai pengurusan mayat, dan kita tidak akan desak mereka kerana mereka meminta ruang untuk berbincang dengan keluarga,” katanya.

Penerbangan MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, dalam penerbangan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur, dipercayai ditembak jatuh di Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai lepas.

Terdahulu, dalam ucapannya, Rohani berkata kementerian berjaya mengutip RM10,000 untuk disalur kepada Tabung Spread The Love 2 Gaza Palestine bagi membantu penduduk Gaza yang teraniaya akibat serangan rejim zionis Israel.

Beliau berkata kutipan tabung yang dilancar pada 21 Julai, telah diserah kepada Aqsa Syarif, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman.

Muhyiddin turut meluangkan masa bertanyakan khabar beberapa waris keluarga penumpang dan anak kapal pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu. — Bernama

Advertisement