Anda di sini

PKR dan DAP desak Khalid buktikan sokongan majoriti Dewan

Advertisement

SHAH ALAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP mendesak Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membuktikan kepada rakyat negeri itu bahawa beliau masih mendapat sokongan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti didakwanya.

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi DAP Selangor Tony Pua dalam satu kenyataan bersama di sini semalam, berkata ini termasuklah memanggil sidang DUN untuk melakukan undi kepercayaan atau cara lain yang boleh membuktikan Abdul Khalid mempunyai sokongan daripada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS dan UMNO.

“PKR dan DAP telah menyatakan secara terbuka bahawa Abdul Khalid tidak lagi mendapat sokongan kedua-dua parti ini sebagai Menteri Besar Selangor, ini bermakna Abdul Khalid sudah hilang kepercayaan 28 ADUN iaitu separuh daripada jumlah 56 ADUN di Selangor.

“PAS pula belum membuat keputusan mengenai soko-ngan mereka kepada Abdul Khalid sebagai Menteri Besar dan Jawatankuasa PAS Pusat hanya akan bermesyuarat pada 17 Ogos ini. Oleh yang demikian, kenyataan Abdul Khalid kepada pihak istana bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti DUN itu adalah meragukan,” kata mereka.

Saifuddin dan Pua berkata dengan penolakan terbuka PKR dan DAP, ini bermakna Abdul Khalid hanya boleh mempunyai sokongan majoriti dengan mendapat sokongan daripada 12 ADUN UMNO.

Sehubungan itu, mereka turut mendesak UMNO menyatakan secara terbuka bahawa 12 ADUN parti itu menyokong Abdul Khalid seperti mana yang didakwa oleh beliau.

“Jika 12 ADUN UMNO tidak menyokong Abdul Khalid, maka jelaslah beliau telah mempersembahkan maklumat palsu kepada Sultan Selangor,” kata mereka.

Saifuddin dan Pua berkata pihak mereka akan terus menggunakan segala kaedah mengikut Undang-undang Tubuh Negeri Selangor dan enakmen yang berkenaan untuk mengembalikan tampuk pemerintahan kerajaan Selangor kepada pakatan pembangkang yang dipilih oleh rakyat pada pilihan raya umum lepas.

Mereka berkata langkah seterusnya mengikut Undang-undang Tubuh Negeri akan dimaklumkan selepas pimpinan pakatan pembangkang bermesyuarat mencari muafakat menyelesaikan perkara ini dengan baik. — Bernama

Advertisement