Anda di sini

Ngap Sayot tampil aksi hebat

Advertisement

Oleh Mahathir Haroun //

Alberts mahu anak buahnya tidak hadapi sebarang tekanan pada saingan Piala Malaysia

KUCHING: Ketua Jurulatih Sarawak, Robert Alberts mahu anak-anak buahnya tidak menghadapi sebarang tekanan pada kempen Piala Malaysia 2014 yang bermula Khamis ini.

Pasukan Ngap Sayot menghadapi perlawanan pembukaan menentang Terengganu di Stadium Negeri, di sini Khamis ini (14 Ogos).

Jurulatih dari Belanda itu berkata, setiap pemain juga cukup bersedia dan akan memberi tekanan hebat kepada pasukan pelawat (Terengganu) untuk memastikan tiga mata mampu diraih.

“Biarpun tanpa kelibat pemain import Muamer Salibasic, saya yakin pemain-pemain lain mampu menggalas tanggungjawab yang diamanahkan,” katanya di sini semalam.

Alberts berkata, berdasarkan perkembangan semasa penyerang dari Bosnia itu masih dibelenggu kecederaan.

“Kita tidak berdepan sebarang tekanan untuk menghadapi saingan Piala Malaysia musim ini meskipun kehilangan pemain tonggak, ” ujarnya.

Bagaimanapun , yang penting beliau mahu pasukannya mampu meraih tiga mata tatkala beraksi di gelanggang sendiri.

Alberts berkata, agak sukar meramalkan kemampuan Terengganu kerana peluang kedua-dua pasukan agak seimbang setakat ini.

Dalam aksi Liga Super sebelum ini, Sarawak tewas 3-1 kepada Terengganu di gelanggang sendiri dan berjaya membalas dendam di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu dengan kemenangan 2-1.

“Apa yang pasti, semua pemain sudah tidak sabar untuk beraksi selepas berehat panjang dan mereka perlu fokus terhadap semua perlawanan yang dihadapi,” katanya.

Alberts memberitahu bahawa Sarawak akan menampilkan permainan lebih menarik pada saingan Piala Malaysia musim ini.

Ini kerana, kebanyakan pemain sudah bebas daripada kecederaan selain Salibasic.

Sarawak diundi dalam Kumpulan B bersama Terengganu, Perak dan Kedah.

Perlawanan seterusnya menyaksikan Sarawak menentang Perak di Stadium Ipoh dan Kedah di gelanggang sendiri.

Advertisement