Anda di sini

GST: Kerajaan pastikan peniaga tidak naikkan harga barang

Advertisement

Oleh S.CONNIE PEARL SUIL

MUSA (kiri) menerima cenderahati daripada Pengarah Wilayah Intan Kampus Sabah, Jamaluddin Mohd Ali.

KOTA KINABALU: Kerajaan akan mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan daripada pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebagai alasan untuk meningkatkan harga barang bagi mengaut keuntungan berlebihan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman berkata, antara langkah yang diambil kerajaan adalah dengan menguatkuasakan sepenuhnya Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatuan 2011.

Selain itu katanya, kerajaan juga akan memperhebatkan aktiviti penguatkuasaan dengan mengenakan denda dan penalti yang lebih berat terhadap peniaga yang ingkar, penerbitan panduan harga pengguna selain menjadikan pasaraya sebagai penanda aras harga.

“Rakyat juga perlu tahu bahawa GST hanya boleh dikenakan oleh peniaga yang berdaftar dengan GST, Jabatan Kastam Diraja Malaysia sahaja. Pengguna berperanan memastikan hanya peniaga berdaftar sahaja boleh mengenakan GST.

“Dalam masa yang sama, kita sebagai pengguna harus sentiasa melindungi dan mempertahankan hak kita sebagai pengguna daripada dieksploitasi peniaga yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam ucapannya pada perasmian ‘Seminar Kepenggunaan, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan Anda’ di Auditorium Tun Datu Mustapha, Intan kampus Sabah kelmarin.

Menurut Musa, isu berkaitan dengan GST juga sering dieksplotasi oleh pihak-pihak tertentu yang cuba mempengaruhi pemahaman rakyat demi kepentingan agenda politik tanpa memikirkan manfaat akhir kepada negara.

Justeru katanya, semua jabatan dan agensi berkaitan perlu terus memperhebatkan usaha-usaha penerangan dan penjelasan lebih bersepadu kepada peringkat masyarakat berkaitan pelaksanaan GST.

Sementara itu, mengulas mengenai Menteri Besar Selangor, Musa berkata pihaknya bersama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Barisan Nasional (BN) menyokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikekalkan sebagai Menteri Besar tanpa syarat.

“Yang penting, kita mahu Selangor itu terus dapat berfungsi sebagai dasar, dan program pembangunannya yang berjalan lancar supaya rakyat terus hidup dalam keadaan aman damai.

“Saya percaya dengan kepimpinan Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar serta program dan dasar yang beliau ketengahkan dapat berjalan lancar serta memberi manafaat kepada rakyat,” katanya.

Advertisement