Anda di sini

42 panggilan telefon

Advertisement

Oleh SITI AISYAH NARUDIN //

Penculik letak harga wang tebusan terlalu tinggi

KOTA KINABALU: Rundingan bagi melepaskan Konstable Zakia Aliep yang diculik sejak 12 Julai lepas terpaksa mengambil masa akibat harga wang tebusan yang diletakkan oleh pihak penculik terlalu tinggi.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, proses rundingan masih berjalan dan mangsa dalam keadaan sihat serta tidak diapa-apakan.

Menurutnya, setakat kelmarin sebanyak 42 panggilan telefon dibuat bagi menghubungkan Zakia dengan ahli keluarganya dan polis.

“Setiap panggilan dipantau sepenuhnya dan kebanyakan panggilan dibuat pada waktu tengahari dan petang. Mangsa turut memaklumkan lokasi mereka sering berpindah memandangkan pihak berkuasa di sana juga memburu penculik terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Kontinjen Sabah di sini kelmarin.

Pada majlis itu, mantan Pemangku KJSJ Kontinjen Sabah Senior Asisten Komisioner Shariff Abd Wahid menyerahkan tugas kepada KJSJ yang baharu Senior Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman.

Sebelum ini, Salehhudin bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Melaka manakala Shariff dilantik sebagai Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (KJPJKK) negeri Kedah.

Shariff yang juga mantan Timbalan KJSJ (Siasatan dan Perundangan) Kontinjen Sabah turut menyerahkan tugas kepada Timbalan KJSJ (Siasatan dan Perundangan) baharu Asisten Komisioner Jauteh Dikun yang sebelum ini bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu.

Jalaluddin berkata, pihak penculik juga memberikan kerjasama dengan memberikan ruang kepada Zakia untuk menelefon keluarga terutama isteri dan ibu bapanya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan sudah membawa kes penculikan yang melibatkan seorang pengusaha premis ternakan ikan dan seorang pekerjanya yang berlaku di Kunak 15 Jun lepas kepada Ketua Polis Negara dan pihak polis di Bukit Aman.

“Saya sudah berbincang dan membawa kes ini kepada pihak Bukit Aman sejak 10 hari yang lepas,” katanya.

Advertisement