Anda di sini

MB Selangor terus bertugas

Advertisement

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tetap akan meneruskan tugasannya seperti biasa sehingga satu mesyuarat Majis Dewan Diraja Selangor, diadakan esok (hari ini).

Abdul Khalid berkata beliau tidak akan melakukan sebarang rayuan berhubung pemecatan keanggotaannya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berkuat kuasa semalam (kelmarin) tetapi bertegas untuk tetap mempertahan jawatannya sebagai Menteri Besar.

“Mesyuarat Majlis Dewan Diraja Selangor akan dibuat esok (hari ini) dan saya akan bincangkan perkara ini sendiri dengan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas mesyuarat berkenaan.

“Jadi, sebarang keputusan daripada saya hanya akan diumumkan selepas perjumpaan diraja tersebut,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurut Abdul Khalid, pihaknya juga dinasihatkan peguam supaya tidak membuat sebarang kenyataan supaya tidak mengganggu proses undang-undang yang mungkin akan diambil pada masa depan.

Ketika diminta mengulas terdapat kemungkinan pihaknya akan mengkaji semula kedudukan barisan Exco kerajaan negeri, Abdul Khalid berkata ia hanya akan diputuskan selepas mesyuarat berkenaan.

Kelmarin, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Datuk Dr Tan Kee Kwong ketika mengumumkan keputusan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) berkata keputusan pemecatan itu dibuat sebulat suara berdasarkan tindakan Abdul Khalid mengingkari arahan parti untuk meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu.

Selain itu katanya, Abdul Khalid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang juga telah ingkar beberapa keputusan yang dibuat Majlis Presiden Pakatan Rakyat, termasuklah menangguhkan proses dan perbincangan projek Langat 2 serta kenaikan elaun Speaker, Menteri Besar, Exco dan ADUN Selangor.

Abdul Khalid menyertai PKR pada 2007.

Dalam reaksinya kelmarin, Abdul Khalid bagaimanapun akur dengan keputusan PKR yang memecatnya daripada parti walaupun ia salah dan cacat dari segi undang-undang selain bertentangan dengan perlembagaan parti tersebut. — Bernama

Advertisement