Anda di sini

Konvoi ‘Jihad For Gaza’ kumpul sumbangan untuk Palestin

Advertisement

ALOR SETAR: Bersimpati dengan nasib penduduk Gaza yang ditimpa kesusahan akibat kekejaman rejim Zionis, Kumpulan Era Engineering Sdn Bhd menganjurkan konvoi ‘Jihad For Gaza’ dan tabung bagi mengumpul sumbangan untuk membantu masyarakat di Palestin.

Konvoi dua hari yang bermula kelmarin sekitar bandar raya ini hingga ke Tasik Darulaman, Jitra membabitkan 20 kereta dan motosikal bagi mengumpul sumbangan daripada orang ramai.

Program itu hasil kerjasama syarikat berkenaan dengan Aqsa Syarif Berhad, Kelab Benelli Utara dan Permata Warisan Negeri Kedah.

Pengarah Kumpulan Era Engineering Azahar Nayan berkata program itu bertujuan membantu rakyat Palestin.

“Sekurang-kurangnya dengan bantuan yang disalurkan ini, sedikit sebanyak dapat membantu mereka di sana mendapatkan barangan perubatan, makanan dan pakaian,” katanya kepada Bernama di majlis Aidilfitri Kumpulan Era Engineering di sini semalam.

Menerusi program itu, Kumpulan Era Engineering turut menjual cenderahati berupa baju-T ‘Jihad For Gaza’, mafla dan lencana butang kepada orang ramai yang memberi sumbangan.

Kesemua sumbangan yang dikumpul selama dua hari itu akan diserah kepada Presiden Aqsa Syarif Negeri Kedah Abdul Wahab Yahya. — Bernama

Advertisement