Anda di sini

JPN bantu lima beradik dapatkan sijil kelahiran

Advertisement

KOTA BAHARU: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kelantan akan membantu lima beradik daripada sebuah sebuah keluarga miskin di Kampung Bukit Cina di Kok Lanas di sini mendapat sijil kelahiran secepat mungkin.

Pengarahnya, Nafisah Abdullah berkata pihaknya telah menyemak segala dokumen yang diperlukan dan setakat ini kelima-lima mereka memenuhi syarat yang ditetapkan kerana dilahirkan di hospital dan klinik.

“Esok (hari ini) kita akan mula menyelesaikan urusan itu termasuk masalah ibu mereka, Rosmaini Khabiti sendiri yang telah kehilangan kad pengenalan diri sejak dua tahun lalu,” katanya kepada pemberita ketika berkunjung di rumah keluarga berkenaan semalam.

Beliau berkata JPN sentiasa bersedia membantu keluarga yang mengalami masalah untuk mendapatkan sijil kelahiran dan kad pengenalan seperti yang dialami keluarga itu.

Sementara itu, Rosmaini, 28, meluahkan rasa syukur apabila anak-anaknya, Shafiq Daniel Mohd Rezuan, 8, Alia Maisara, 6, Mohd Shakir, 4, Shahmi Farhan, 2, dan bayi yang baru berusia tujuh hari bakal memperoleh sijil kelahiran masing-masing. — Bernama

“Saya sangat gembira di atas keprihatinan yang ditunjukkan JPN kerana sanggup turun padang bagi membantu keluarga saya dan berharap anak-anak akan dapat bersekolah seperti rakan-rakannya yang lain,” kata wanita itu.

Rosmaini berkata kedaifan hidup mereka sekeluarga menyebabkan dia gagal mendapatkan sijil kelahiran anak-anaknya memandangkan tidak mempunyai kenderaan selain dibelenggu masalah kewangan.

Suami Rosmaini dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak enam bulan lalu, menjurus kepada keadaan serba kekurangan keluarga berkenaan. — Bernama

Advertisement