Anda di sini

Adam mendapat tajaan RM15,000 dari PBAPP

Advertisement

GEORGE TOWN: Pelumba basikal bukit Adam Faroze Ahmed menerima penajaan RM15,000 daripada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bagi membolehkannya beraksi di beberapa kejohanan tahun ini.

Dengan penajaan itu, beliau berharap dapat meraih lebih banyak kejayaan yang kelak menggalakkan belia memilih sukan itu.

“Saya berharap dapat menjadi contoh kepada penduduk Pulau Pinang terutama generasi muda,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan cek penajaan itu oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng di sini.

Penajaan itu untuk membantu menampung perbelanjaan Adam Faroze, 26, yang akan mengambil bahagian dalam enam perlumbaan musim ini termasuk Malaysian National Championships/ 2014 Asean MTB Cup Siri 2 di Sabah pada 15 hingga 17 Ogos; Japan National Series J1 Winghills pada 26 dan 27 Sept; dan Asia Pacific Downhill Challenge di Bali, Indonesia pada 7 Nov.

Pelumba semiprofesional itu memenangi tiga perlumbaan pada Mei lepas iaitu Cabaran MTB Kenyir Terengganu; perlumbaan Western Australia State Downhill Race Siri 3 di Perth, Australia (kategori pakar); dan Kiara Downhill Domination di Kuala Lumpur.

Adam Faroze berada pada kedudukan ke-166 di kalangan pelumba basikal bukit dunia tahun lepas dan merupakan seorang daripada pelumba basikal bukit terkemuka di Malaysia.

Sementara itu, Lim yang juga pengerusi PBAPP berkata penajaan oleh PBAPP itu selaras dengan komitmen kerajaan negeri untuk menggalak dan memberi insentif kepada atlet Pulau Pinang.

Beliau berharap penajaan Adam Faroze akan menarik minat lebih ramai rakyat negeri ini memilih sukan berbasikal selain menyerlahkan kehadiran atlet kelahiran negeri itu dalam kalangan komuniti basikal bukit. — Bernama

Advertisement