Anda di sini

PSS buru jurulatih asing

Advertisement

Oleh Harry Ilias //

Sebagai persediaan S’wak menghadapi SUKMA 2016 di Bumi Kenyalang

KUCHING: Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS) bercadang untuk mengambil jurulatih asing bagi mengendalikan skuad negeri sebagai persediaan menghadapi SUKMA 2016 yang akan diadakan di sini.

Presidennya, Datuk Azman Samaon berkata pihaknya akan mengemukakan usul tersebut kepada Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dalam tempoh terdekat.

“Ini merupakan sebahagian daripada proses pemantapan skuad sepak takraw Sarawak sebagai persediaan kita untuk memburu kejuaraan pada SUKMA 2016,” katanya pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri di kediamannya di sini semalam.

Azman berkata, PSS sedang mencari dan menilai keupayaan jurulatih yang berkelayakan dan sasaran mereka adalah jurulatih dari Thailand.

Beliau yang memegang tampuk presiden PSS sejak tahun lalu berkata, persatuan itu juga meletakkan impian tinggi dengan mensasarkan kejuaraan dalam acara sepak takraw pada SUKMA 2016 nanti.

“Sudah tentu kita mahu muncul juara pada SUKMA 2016 di tempat sendiri. Namun, ia bukan perkara mudah dan persatuan perlu bertindak dari sekarang untuk mengumpul pemain yang benar-benar berkualiti,” ujarnya.

Sehubungan itu, Azman berkata PSS akan mengadakan jerayawara seluruh Sarawak bermula minggu hadapan mencari lebih ramai pemain baharu bagi menggalas cabaran negeri pada temasya itu nanti.

Katanya, ini perlu memandangkan kebanyakan pemain lelaki dan wanita yang sedia ada semakin berkurangan kerana terlebih umur dan tidak mencapai mutu yang diharapkan persatuan.

“Sasaran kita bukan sekadar mencari lebih ramai pemain baharu, namun lengkap dengan kualiti untuk memastikan Sarawak muncul juara pada 2016 nanti.

“Justeru, kita akan menjelajah seluruh Sarawak sambil mengadakan perlawanan di beberapa lokasi bagi mencungkil bakat-bakat baharu,” katanya.

Pada masa yang sama, Azman berharap persatuan dan kelab sepak takraw di negeri ini bekerjasama dengan PSS dalam mencapai impian tersebut.

Beliau juga akan berbincang dengan Perbadanan Sukan Negeri Sarawak (SSC) untuk mengadakan pertandingan sepak takraw setiap bulan bagi memudahkan PSS melahirkan lebih ramai pemain pelapis.

“Pertandingan seperti ini akan menjadi landasan pendedahan yang amat berguna kepada pemain-pemain baharu,” tambahnya.

Advertisement