Anda di sini

Pertandingan Golf Amal Dayang kumpul RM18,000

Advertisement

MIRI: Dayang Enterprise Sdn Bhd dan kontraktor syarikat itu berjaya mengumpul sejumlah RM18,000 melalui Pertandingan Golf Amal Dayang 2014 yang berlangsung di Kelab Golf Miri, di sini semalam.

Timbalan Pengurus Besar Dayang Enterprise Sdn Bhd, Joe Ling berkata wang tersebut akan disalurkan kepada dua badan amal di sini iaitu Pusat Dialisis Buah Pinggang Miri dan Persatuan Bibir dan Lelangit Sumbing Malaysia (Sarawak).

Selain itu, penganjur turut mendermakan hadiah wang tunai ‘hole in one’ berjumlah RM2,000 yang tidak dimenangi kepada badan kebajikan.

“Kutipan amal itu merupakan salah satu projek tanggungjawab korporat sosial (CSR) sempena kempen Keselamatan Kualiti Alam Sekitar dan Kesihatan,” katanya.

Dayang turut menganjurkan dua acara kutipan amal iaitu Malam Movie Amal pada 28 Jun di Golden Screen Cinema (GSC) Bintang Mega Mall di sini dan Kempen Cuci Kereta pada 18 Jun hingga 17 Ogos ini.

Mereka turut mengumpul RM11,000 hasil dari tayangan ‘Transformers – Age of Extinction’ untuk kedua-dua badan kebajikan tersebut.

Wang yang dikumpul melalui ketiga-tiga aktiviti kebajikan tersebut disampaikan kepada badan berkenaan pada 18 Ogos nanti.

Sementara itu, Tzarina Abun muncul juara dalam pertandingan golf amal itu manakala Radzi Saad dan Sivabalu Subranariam masing- masing menduduki tangga kedua dan ketiga.

Advertisement