Anda di sini

Kerajaan pantau berterusan air pascarawatan: Subramaniam

Advertisement

Sumber alternatif dipertimbang untuk atasi masalah airKUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan terus memantau kualiti air pascarawatan untuk memastikan ia selamat  dibekalkan kepada pengguna.

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata langkah itu perlu memandangkan sumber air alternatif dipertimbang untuk mengatasi masalah kekurangan air terutamanya di Selangor.

“Apabila orang mula mengambil air daripada sumber alternatif, mungkin timbul keraguan sama ada ia selamat. Oleh itu, kementerian akan terus melakukan pemantauan berterusan terhadap sumber berbeza khususnya dalam sudut kandungannya,”  kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan Hari Hepatitis Sedunia 2014 di Hospital Selayang di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas  kebimbangan berhubung rancangan untuk mengepam air dari bekas lombong ke sungai-sungai yang membekalkan air di Selangor dengan beberapa pihak meragui sama ada air itu selamat untuk dibekalkan kepada pengguna.

Menurutnya kerajaan Selangor mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bekalan air kepada pengguna adalah selamat.

Selangor melaksanakan catuan air pada Mac dan April lepas berikutan paras air di beberapa empangan di negeri itu mula surut.

Beliau berkata pemeriksaan yang dijalankan dua bulan lepas menunjukkan bekalan air dirawat di Selangor adalah selamat untuk diminum kerana ia tidak mengandungi bahan logam yang berbahaya kepada kesihatan manusia.

Terdahulu, dalam ucapannya Dr Subramaniam berkata penyakit Hepatitis terus menjadi masalah kesihatan yang tidak diambil perhatian oleh masyarakat.

“Di seluruh dunia, virus Hepatitis B dan C adalah penyebab utama kanser hati, dengan merekodkan lebih 75 peratus kes,” katanya.

Sebanyak 3,421 kes Hepatitis B dan 2,011 kes Hepatitis C dikenal pasti di negara ini tahun lepas.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Hepatitis ialah radang atau pembengkakan hati. Keadaan itu boleh mencapai ke tahap fibrosis (parut), sirosis atau kanser hati.

Virus Hepatitis merupakan punca yang lazimnya menyebabkan Hepatitis di dunia tetapi jangkitan lain, bahan toksik seperti alkohol dan beberapa jenis dadah serta penyakit autoimmun juga boleh menyebabkan Hepatitis.

Ada lima virus utama Hepatitis dirujuk sebagai jenis A, B, C, D dan E. — Bernama

Advertisement