Anda di sini

Abdul Khalid dipecat serta-merta dari PKR

Advertisement

Keputusan sebulat suara dibuat kerana ingkar arahan parti letak jawatan MB Selangor

PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor Tan Sri Ab­dul Khalid Ibrahim semalam dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Keputusan itu dibuat oleh Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang berkuat kuasa serta-merta.

Pengerusi Lembaga Disip­lin PKR Datuk Dr Tan Kee Kwong berkata keputusan sebulat suara oleh semua anggota MPP itu dibuat berdasarkan tindakan Abdul Khalid mengingkari arahan parti untuk meletakkan ja­watan bagi memberi laluan kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu.

Tan berkata selain itu, Abdul Khalid juga telah ingkar beberapa keputusan yang dibuat Majlis Presiden Pakatan Rakyat.

Mengulas lanjut, Tan ber­kata Abdul Khalid didapati mengingkari keputusan MPP yang bermesyuarat pada 21 Julai lepas, yang sebulat suara memilih Dr Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor.

“Beliau telah membuat kenyataan media pada 22 Julai 2014 yang menyat­akan keengganan beliau meletakkan jawatan itu dan sehingga hari ini (semalam), beliau terus enggan me­lepaskan jawatan tersebut. Atas alasan ini sahaja pun, Lembaga Displin berpen­dapat beliau wajar dipecat,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini semalam.

Tan, yang juga Ahli Par­limen Wangsa Maju, juga berkata antara keputusan Ma­jlis Presiden Pakatan Rakyat yang diingkari Abdul Khalid ialah menangguhkan proses dan perbincangan projek Langat 2 serta kenaikan elaun Speaker, Menteri Besar, Exco dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor.

“Beliau turut gagal mema­tuhi keputusan Majlis Presi­den PR yang dipersetu­jui beliau sendiri untuk melibatkan Jawatankuasa Penstrukturan Air Selangor dalam isu penstrukturan aset air Selangor.

“Beliau turut berkeras untuk meneruskan projek Lebuh Raya Kidex walaupun parti sudah mengarahkan be­liau untuk mengkaji semula projek itu kerana berten­tangan dengan matlamat dan manifesto PR yang dibentangkan sewaktu Pi­lihan Raya Umum lalu,” katanya.

Tan berkata Abdul Khalid diberi tempoh 14 hari mulai semalam untuk memfail­kan rayuan jika merasakan pemecatan itu tidak wajar dan beliau dinafikan keadi­lan.

“Jika Abdul Khalid mem­buat rayuan, MPP akan men­ubuhkan satu jawatankuasa berasingan bagi mendengar kes ini,” katanya.

Pada sidang media sama, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata keputusan itu ber­dasarkan tingkah laku Abdul Khalid yang disifatkan beliau sebagai ‘open defiance’ atau menunjukkan keingkaran secara terbuka.

Saifuddin berkata, ber­dasarkan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959, Abdul Khalid masih lagi Menteri Besar yang sah na­mun menganggap beliau tidak lagi mempunyai sokongan majoriti berdasarkan faktor DAP dan PKR sudahpun membuat keputusan untuk tidak menyokong Abdul Khalid.

“Kena faham, dari segi un­dang-undang tubuh negeri, adalah memang jelas beliau tidak ada majoriti lagi di DUN… kenapa?

“Sebab beliau sudah dipecat dari parti, dan PKR berserta DAP sudah menarik sokon­gan terhadap beliau. Abdul Khalid tidak lagi mempunyai majoriti sokongan ADUN Selangor, dan sebab itu tidak memenuhi syarat untuk terus memegang jawatan MB,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata PKR akan membentangkan usul undi tidak percaya ter­hadap Abdul Khalid dalam Dewan Undangan Negeri bertujuan menyingkirkannya daripada jawatan berkenaan secara sah. — Bernama

Advertisement