Anda di sini

136 kes dicatat sepanjang Skim Kawalan Harga Aidilfitri

Advertisement

ALOR SETAR: Sebanyak 136 kes dicatatkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sepanjang pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Aidilfitri.

Menterinya Datuk Seri Hasan Malek berkata daripada jumlah kes itu pihaknya telah mengenakan kompaun sebanyak RM15,850 terhadap peniaga yang ingkar dengan arahan dikeluarkan sepanjang pelaksanaan skim yang bermula dari 20 Julai hingga 5 Ogos lepas.

Beliau berkata pada Aidilfitri tahun lepas sebanyak 401 kes direkodkan oleh pihaknya dengan jumlah kompaun sebanyak RM44,333.

Katanya antara kesalahan yang dilakukan peniaga ialah menjual barangan melebihi harga siling, gagal menggunakan tanda harga khas merah jambu dan tiada tanda harga.

“Gagal guna tanda harga khas merah jambu catatkan 110 kes dan ini menunjukkan penguatkuasa KPDNKK tidak bertolak ansur terhadap isu tersebut,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KPDNKK di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti di sini semalam.

Hasan berkata bagi kesalahan tiada tanda harga pula sebanyak 21 kes dicatatkan manakala menjual barangan melebihi harga siling sebanyak lima kes.

Beliau berkata Negeri Sembilan mencatatkan kes paling tinggi dengan 27 kes, Pulau Pinang (18 kes), Selangor (16 kes), Perlis (13), Kedah dan Kuala Lumpur masing-masing mencatatkan 10 kes.

“Kurangnya kes pada musim perayaan Aidilfitri tahun ini menunjukkan keberkesanan kira-kira 1,800 anggota penguat kuasa yang turun padang memantau harga barangan di pasar basah sepanjang pelaksanan itu,” katanya.

Katanya komitmen dan kerjasama daripada pengguna serta peniaga turut menyumbang kepada penurunan kes sekaligus berjaya merealisasikan hasrat kerajaan untuk membantu serta mengurangkan beban rakyat mendapatkan barangan pada harga berpatutan. — Bernama

Advertisement